Nanas segar Malaysia tembusi pasaran New Zealand, tingkat ekonomi pekebun
- Suara Keadilan
- 15 hours ago
- 2 min read

Industri nanas negara terus mencipta kejayaan apabila nanas segar Malaysia kini berjaya menembusi pasaran New Zealand, sekali gus membuka peluang baharu kepada pengusaha tempatan untuk memperluaskan pasaran eksport.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkembangan tersebut dijangka membantu meningkatkan peluang ekonomi pekebun dan usahawan nanas tempatan selain menyokong sasaran industri nanas negara untuk mencapai nilai eksport sekitar RM2 bilion menjelang 2027.
Beliau berkata kejayaan itu membuktikan hasil pertanian Malaysia semakin mendapat kepercayaan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Hari ini Bang Mat rasa cukup bangga dan gembira. Satu lagi hasil pertanian negara kita dah berjaya tembus pasaran luar negara, nanas segar Malaysia kini boleh dieksport ke New Zealand," kata beliau dalam hantaran di media sosial selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontena Eksport Nanas Segar Malaysia ke New Zealand di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Mohamad Malaysia menghasilkan lebih 530,000 metrik tan nanas setahun, dengan varieti premium seperti MD2, Josapine dan N36 yang mempunyai kualiti untuk bersaing di pasaran global.
“Ini bukti hasil pertanian kita makin dipercayai dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kita hasilkan nanas dengan varieti premium yang mampu memenuhi kehendak pasaran dunia,” katanya.
Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), pengeksport serta pemain industri yang bekerjasama memastikan produk nanas Malaysia memenuhi standard ketat ditetapkan New Zealand.
Bagi pasaran baharu ini, permintaan awal direkodkan sekitar satu kontena sebulan dengan nilai anggaran kira-kira RM4.32 juta setahun, katanya.
Sebelum ini, nanas Malaysia telah mempunyai pasaran eksport di beberapa negara termasuk Singapura, China, Jepun, Korea Selatan, Asia Barat serta beberapa pasaran lain melibatkan produk segar dan produk hiliran seperti nanas dalam tin, jus serta produk diproses.
