top of page

Nama calon PH kekal dalam kertas undi DUN Silam walau tarik diri

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 24 minutes ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Nama calon Pakatan Harapan (PH), Abdul Halim Sidek Gulam Hassan tetap dicetak dan kekal pada kertas undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.62 Silam meskipun beliau membuat keputusan menarik diri sehari selepas Hari Penamaan Calon pada Sabtu lalu.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan menjelaskan pihaknya mengambil maklum hasrat penarikan diri tersebut namun ia tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan peraturan ditetapkan.


Menurut Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, peraturan sedia ada tidak membenarkan mana-mana calon menarik balik pencalonan selepas tempoh rasmi berakhir pada hari penamaan calon.


"Merujuk kepada Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, tiada seorang calon pun boleh menarik pencalonannya selepas pukul 10.00 pagi pada hari penamaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sehubungan itu, SPR menegaskan bahawa Abdul Halim kekal sebagai calon yang bertanding dan namanya tidak akan dipadamkan daripada kertas undi bagi bahagian berkenaan.


Penamaan calon bagi PRU DUN Sabah Ke-17 berlangsung Sabtu lalu dengan beberapa kerusi termasuk N.62 Silam menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru.


Semalam PH Sabah mengesahkan calon mereka bagi kerusi DUN Silam, Abdul Halim Sidek telah menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.


Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Datuk Mustapha Sakmud berkata penarikan diri itu dibuat secara bertanggungjawab selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk menjaga keharmonian dan hubungan baik antara parti komponen dalam PH serta rakan kerjasama politik di Sabah.


Tegasnya tindakan itu merupakan keputusan peribadi calon itu tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.


Penampilan mengejut Abdul Halim Sidek membuat pencalonan mengundang pelbagai reaksi daripada parti lawan termasuk GRS yang meletakkan ketua kawasannya Mizma Appehdullah.


Kerusi DUN itu menyaksikan pertarungan sembilan penjuru.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page