Naik taraf, selesai isu strata antara tumpuan Belanjawan Selangor 2026
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor akan memberi tumpuan khusus kepada projek naik taraf kemudahan awam dan pengindahan kawasan pangsapuri seluruh negeri menerusi Belanjawan Selangor 2026.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha menjayakan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) ke arah menjadikan Selangor sebagai negeri pintar, berdaya huni dan makmur.
"Kita tidak lupakan projek pengindahan dan naik taraf. Tahun depan, kita akan fokus kepada kemudahan di kawasan pangsapuri.
"Inilah maksud sebenar berdaya huni, dan kita tahu ini adalah keperluan rakyat," katanya dipetik dalam Program Qurban Strata Gombak di Pangsapuri Kenanga, Gombak, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menyediakan dana permulaan RM10 juta bagi menyelesaikan isu pemilikan hak milik strata yang melibatkan lebih 10,000 unit pangsapuri lama yang belum memiliki geran individu.
"Jumlah sebenar keperluan dianggarkan melebihi RM80 juta, namun kita mulakan dahulu dengan RM10 juta," jelas beliau.
Dana berkenaan dilancarkan secara rasmi pada 31 Mei 2025 khusus untuk mempercepatkan pewartaan dan penyerahan hak milik strata di kawasan kediaman bertingkat.
Ia sebagai membuktikan komitmen pentadbiran negeri untuk menyelesaikan isu hak milik penghuni yang telah berlarutan puluhan tahun.