Nahas lori Imigresen ragut nyawa: Menteri arah tindakan tegas jika ada kecuaian
- Helmi Mohd Foad

- 29 minutes ago
- 2 min read

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian, salah laku atau pelanggaran undang-undang dalam kemalangan membabitkan kenderaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang meragut nyawa tiga sekeluarga, awal pagi tadi.
Beliau berkata JIM juga telah diarahkan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan segala fakta berkaitan kejadian itu dapat dikenal pasti dan diperjelaskan.
"Saya amat dukacita dengan insiden tragis yang telah meragut nyawa ini. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang.
"Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam memastikan segala fakta berkaitan kejadian dapat dikenal pasti dan diperjelaskan.
"Sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian, salah laku atau pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM turut mendoakan keluarga mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi saat sukar itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban mengesahkan sebuah kenderaan milik jabatan berkenaan terbabit dalam kemalangan di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Menurutnya, JIM memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar kejadian.
"Jabatan menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung dan tidak akan membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului hasil siasatan pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata JIM juga akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan berkaitan pengoperasian kenderaan jabatan bagi memastikan perkara itu diteliti secara menyeluruh.
JIM turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya membantu siasatan pihak berkuasa selain tidak menyebarkan gambar, rakaman atau maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan spekulasi.
Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi, tiga sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori JIM.
Mangsa yang maut ialah seorang lelaki berusia 53 tahun bersama dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun manakala isterinya berusia 55 tahun dilaporkan parah dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Keluarga berkenaan dipercayai sedang bercuti di ibu negara ketika kejadian berlaku.




Comments