top of page

MP Bandar Kuching gesa reformasi kesihatan di Sabah, Sarawak

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
6 hours ago
1 min read

Ahli Parlimen Bandar Kuching menyeru Kerajaan MADANI agar segera melaksanakan reformasi dan penstrukturan semula sistem kesihatan negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.


Dr Kelvin Yii Lee Wuen (gambar) berkata, krisis penempatan pegawai perubatan serta nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak baru-baru ini jelas menunjukkan keperluan mendesak kepada tindakan segera.


"Usaha menangani isu kekurangan tenaga kerja perubatan perlu disegerakan di samping tahap keselamatan FDS terus diperkukuh," katanya dipetik dalam perbahasannya di Dewan Rakyat pada Isnin.


Nahas helikopter jenis Bolkow Bo 105 pada September lalu mengorbankan lima individu, termasuk juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham.


Turut terkorban dalam insiden tersebut ialah empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit Henry, serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya Jok.


Mengulas mengenai insiden tersebut, Dr Kelvin meminta kerajaan mempertimbangkan pampasan tambahan kepada keluarga mangsa, termasuk bantuan pendidikan untuk anak-anak serta sokongan sara hidup bagi tanggungan yang kehilangan tempat bergantung.


Sementara itu, bagi menangani keengganan sebilangan pegawai perubatan untuk melapor diri bagi penempatan tetap di Sabah dan Sarawak, beliau mencadangkan agar kerajaan mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) kepada struktur progresif, selain menyalurkan bantuan perpindahan lebih awal berdasarkan kos sebenar.


Beliau turut mengusulkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, penambahbaikan laluan kenaikan pangkat, penyediaan insentif tambahan oleh kerajaan negeri, serta kelonggaran menggunakan khidmat doktor asing secara terhad sebagai langkah jangka pendek.


Tegasnya, matlamat akhir siri reformasi itu adalah bagi memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang saksama dengan disokong oleh tenaga perubatan mencukupi dan sistem pengangkutan udara yang selamat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page