Monsun Timur Laut: LKIM sedia stok penimbal, jamin bekalan ikan


Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi komitmen memastikan bekalan ikan tidak terputus ketika Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil (gambar), sebanyak 1,600 tan metrik stok penimbal ikan telah disediakan, selain pihaknya menjalin kerjasama menerusi MoU bersama pihak swasta bagi menjamin kestabilan bekalan ikan sekiranya berlaku gangguan di pasaran.
"Kita juga ada lebih 2,000 peniaga terbabit dengan ikan import yang menjadi antara mekanisme membantu menjamin kesinambungan bekalan sepanjang tempoh berkenaan.
"Alhamdulillah, seperti tahun-tahun lalu, bekalan ikan sentiasa ada dan kita akan mengekalkan momentum itu," katanya dipetik laporan media.
Muhammad Faiz ditemui selepas menghadiri Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama-sama Nelayan di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.
Pada majlis tersebut, peruntukan RM943,000 disalurkan bagi tiga program dan inisiatif pembangunan untuk manfaat komuniti nelayan bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Teluk Bahang.
Daripada jumlah itu, RM693,000 diperuntukkan bagi elaun sara hidup bagi tempoh Januari hingga September, manakala RM200,000 bagi projek membina dan menaik taraf infrastruktur pusat agropelancongan PNK Teluk Bahang.
Selain itu, RM50,000 disediakan melalui Program Peningkatan Produktiviti Nelayan B40 PNK Teluk Bahang.
Muhammad Faiz turut menyampaikan pelbagai bantuan termasuk enjin bot, pukat dan tong insulasi kepada serami 31 nelayan PNK Teluk Bahang.




Comments