Misi “30 Hari, 30 Surau” cetus kesedaran jaga rumah ibadat — Menteri Agama
- Redzuan Shamsudin
- 5 days ago
- 2 min read

Inisiatif “30 Hari, 30 Surau” yang digerakkan aktivis dan pempengaruh media sosial disifatkan sebagai usaha dakwah yang mampu mencetuskan kesedaran masyarakat untuk menjaga kebersihan rumah ibadat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hassan berkata, misi yang digerakkan oleh Rusydi Sayuti Rosli bukan sekadar membersihkan surau secara fizikal, tetapi turut membawa mesej pembersihan rohani.
"Misi ‘30 Hari, 30 Surau’ bukan sekadar bersihkan surau secara fizikal, tetapi beliau ajak kita bersihkan hati. Dalam dunia yang sibuk mengejar ‘views’, beliau memilih mengejar pahala," katanya dalam muat naik di media sosial menerima kunjungan aktivis rumah ibadat berkenaan baru baru ini.
Menurut beliau, inisiatif seperti #ReviewSurau bukan sekadar kandungan media sosial biasa, sebaliknya merupakan satu bentuk gerakan kesedaran untuk mengimarahkan rumah ibadat.
"Ini bukan sekadar konten biasa, ini usaha dakwah. Ini gerakan kesedaran — rumah Allah bukan untuk dikunjungi sahaja, tetapi untuk dijaga," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Rusydi bersama wakil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa masyarakat perlu lebih peka terhadap aspek kebersihan dan keselesaan surau sebagai tempat ibadah.
"Ini masa untuk sedarkan masyarakat - bahawa kita bukan hanya perlu banyak surau untuk solat, tetapi juga surau itu mesti dalam keadaan bersih dan selesa untuk kita beribadat. Dan ini memerlukan komitmen dan kesedaran bersama," katanya.
Tambahnya, sikap menunggu pihak lain bertindak perlu diubah kerana setiap individu mempunyai peranan dalam menjaga kebersihan rumah ibadat.
"Kadang kita tunggu orang lain buat, padahal kita juga boleh mula dengan keberanian untuk bertindak," katanya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Rusydi serta semua pihak yang terlibat dalam usaha memartabatkan kebersihan dan kesucian rumah ibadat.
