Menteri Agama santuni 3,000 pengguna lebuh raya di Plaza Tol Gombak
- Redzuan Shamsudin
- 7 minutes ago
- 1 min read

Seramai 3,000 pengguna lebuh raya disantuni dalam Program ‘Jom Balik Kampung’ yang diadakan di Plaza Tol Gombak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Program tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan kelmarin, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Malaysian Relief Agency dan Lembaga Lebuhraya Malaysia serta beberapa rakan strategik.
Antara rakan strategik yang terlibat termasuk McDonald's, Nestlé, Nescafé, Gardenia, Mamee serta The Coffee Bean & Tea Leaf.
Menurut Dr Zulkifli, program itu bertujuan menyantuni para pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.
"Program ini bertujuan menyantuni para pengguna jalan raya yang menggunakan lebuh raya bagi tujuan balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba," katanya.
Dalam program tersebut, para pengguna menerima beg ‘goodies’ yang mengandungi makanan ‘Ready To Eat’ hasil sumbangan rakan-rakan strategik.
"Seramai 3,000 pengguna lebuh raya telah disantuni dengan pemberian beg goodies berisi barangan makanan sedia dimakan," ujarnya.
Turut hadir dalam program itu ialah Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Muhammad Yamin Ismail.
Dalam masa sama, beliau turut menitipkan doa dan harapan kepada semua pengguna jalan raya yang memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman.
"Saya mengucapkan Selamat Pulang ke Kampung Halaman kepada semua. Semoga semuanya selamat sampai ke destinasi dan bertemu keluarga yang tersayang," katanya lagi.
