Selangor berminat untuk menggunakan teknologi Jerman bagi sistem Rel Kita Selangor.
Sehubungan itu, Menteri Besar (MB) Selangor Datuk seri Amirudin Shari mengadakan lawatan ke Siemens Mobility Rail Service Center yang menyediakan teknologi rel terkini di Jerman.
Menurut MB, dalam lawatan berkenaan, delegasi Selangor diberi penerangan tentang ketersediaan Siemens Mobility dalam bidang rel yang memiliki 5.5 kilometer rel di Dortmund-Eving dan telah membina sebuah bengkel enam landasan, sebuah gudang tiga tingkat, dan sebuah fasiliti pembersihan pembersihan keretapi.
"Semua proses penyelenggaraan ini beroperasi 100% tanpa menggunakan kertas!
"Pengetahuan yang ditimba daripada lawatan ini bukan sahaja terbatas kepada memastikan pertukaran kepakaran malahan juga memenuhi keperluan Negeri Selangor melalui keterlibatan industri berteraskan pengetahuan merentasi penyelidikan, pendidikan, perkhidmatan dan teknologi.
"Lawatan kali ini juga adalah sebahagian dari usaha Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan Rel Kita Selangor yang telah menjadi sebahagian dari manifesto Kerajaan Perpaduan Selangor dalam pilihanraya lalu," katanya dalam kenyataan.
Kata Amirudin, dengan hubungan yang lebih kukuh bersama Siemens Mobility Rail Service Center Kerajaan Negeri akan dapat membawa masuk teknologi dan kepakaran Jerman untuk membangunkan automasi selaras teknologi IR 4.0.
"InshaAllah saya juga akan bertemu delegasi Siemens yang diketuai CEO mereka bagi meneroka peluang kerjasama dan potensi pelaburan Siemens di Selangor," katanya lagi.
Comments