top of page

Masjid jangan jadi 'gajah tidur', hayati Titah Sultan Perak - MAPIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 25 minutes ago
  • 2 min read

Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, supaya masjid dan surau memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ummah dan masyarakat perlu dihayati seluruh institusi masjid di negara ini, kata Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).


Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar), berkata titah Sultan Perak yang menyifatkan 700 masjid dan 1,773 surau di Perak tidak seharusnya menjadi “gajah tidur” merupakan peringatan penting supaya institusi masjid lebih dinamik dan dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.


Menurut beliau, masjid tidak wajar hanya dilihat sebagai tempat menunaikan solat dan mengikuti kelas agama, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pusat ilmu, pendidikan, pembangunan keluarga, kebajikan, ekonomi, pembinaan generasi muda serta pengukuhan kehidupan sosial masyarakat.


"Jawatankuasa masjid tidak boleh menutup mata terhadap kemiskinan, pengangguran, masalah keluarga, keciciran pendidikan, kesihatan, ketagihan, kesunyian warga emas dan pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat setempat," katanya.


Sehubungan itu, MAPIM menyokong usaha supaya masjid menyediakan ruang untuk kaunseling keluarga, aktiviti kanak-kanak dan belia, pendidikan masyarakat, pembangunan keusahawanan, bantuan kebajikan serta program yang menghubungkan generasi muda dengan masjid.


Azmi berkata, masjid juga perlu memainkan peranan dalam isu strategik masyarakat termasuk keterjaminan makanan, penjagaan alam sekitar dan kesihatan.


"Masjid mempunyai kekuatan jaringan akar umbi yang luas dan boleh menjadi pusat penyelarasan tindakan masyarakat dalam menghadapi cabaran tersebut," katanya.


Beliau berkata ukuran kejayaan sesebuah masjid tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah jemaah ketika waktu solat atau bilangan program yang dianjurkan.


"Persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana masjid memberi kesan kepada kehidupan masyarakat dan sejauh mana masyarakat merasakan masjid benar-benar menjadi rumah mereka," katanya.


Menurutnya, titah Sultan Nazrin juga wajar dijadikan pencetus kepada anjakan paradigma dalam pengurusan masjid di seluruh negara.


"Masjid perlu bergerak daripada pendekatan pengurusan rutin kepada pendekatan pembangunan komuniti yang mempunyai visi, data, perancangan, jaringan kerjasama dan ukuran impak yang jelas," katanya.


Azmi berkata masjid yang benar-benar hidup ialah masjid yang hidup bersama masyarakatnya dengan menyediakan ruang untuk ketenangan, ilmu, pertolongan, penyelesaian masalah, pembinaan ekonomi dan pengukuhan ukhuwah.


Dalam semangat Hari Masjid Sedunia dan menjelang Persidangan Masjid Serantau 2026, MAPIM turut menyeru seluruh pengurusan masjid di Malaysia menjadikan titah Sultan Perak itu sebagai dorongan untuk melakukan muhasabah dan pembaharuan.


"Masjid perlu kembali menjadi pusat peradaban ummah hidup dengan solatnya, hidup dengan ilmunya, hidup dengan kebajikannya, hidup dengan ekonominya dan hidup bersama masyarakat yang dinaunginya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page