
Oleh: Abdullah Zaid
Terkesan dengan masalah jaringan internet dan nasib petani, calon Pakatan Harapan (PH) N.29 DUN Sidam berazam untuk mengangkat isu tersebut sebagai agenda utamanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Bercakap kepada Suara Keadilan, calonnya Bau Wong Bau Ek berkata manifesto tersebut dibawa setelah menerima pelbagai aduan daripada pengundi di sekitar DUN tersebut terutamanya di kawasan luar bandar.
"Ketika saya berkempen saya menyedari begitu banyak kawasan kampung di hujung DUN mengalami masalah jaringan (akses internet).
"Bukan itu sahaja, petani-petani yang mengusahakan sawah padi juga mengalami kesulitan dari segi sistem perparitan dan saliran air yang terhad.
"Jadi isu-isu ini yang saya terus bawa jika dipilih untuk menjadi ADUN nanti," katanya.
Selain itu, bekas Pegawai Khas Ahli Parlimen Sungai Petani tersebut juga tekad untuk merampas kembali kerusi DUN Sidam setelah penyandang sebelum ini melompat menyertai PN.
Beliau turut menyatakan kecintaannya kepada perjuangan KEADILAN dan PH serta tidak mungkin mengikut jejak ADUN terdahulu.
"Ketika saya berkempen di sini (DUN Sidam) rata-rata pengundi terutama masyarakat Cina yang mengundi Robert Ling (penyandang lama) tidak berpuas hati dan mereka memberi jaminan untuk kekal menyokong calon PH.
"Ada yang tanya adakah saya bakal menjadi seperti dia (penyandang lama) saya katakan daripada khianat, lebih baik kita berkhidmat untuk rakyat," ujarnya lagi.
Untuk rekod, Dr Robert Ling Kui Ee mewakili KEADILAN menang dengan majoriti 10,860 menewaskan lawannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Namun, Robert Ling bertindak menyertai Bersatu dan tewas kepada Dr Mohammed Taufiq Johari bagi merebut kerusi Parlimen Sungai Petani pada PRU15 lalu.
Comentários