top of page

MAPIM sokong langkah PMX hantar bantuan kemanusiaan ke Nepal

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 52 minutes ago
  • 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyambut baik dan menyokong langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Nepal susulan bencana banjir besar dan tanah runtuh yang mengorbankan nyawa serta menjejaskan kehidupan rakyat negara itu.


Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keputusan berkenaan mencerminkan tanggungjawab kemanusiaan Malaysia yang melangkaui sempadan negara, agama dan bangsa.


"Dalam keadaan rakyat Nepal sedang berhadapan kehilangan nyawa, kemusnahan kediaman, gangguan infrastruktur serta kesukaran mendapatkan keperluan asas, tindakan pantas Malaysia amat bermakna," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata, kekuatan sesebuah negara bukan hanya diukur berdasarkan kekayaan dan kemajuan ekonominya, sebaliknya turut dinilai melalui kesediaan membantu manusia yang sedang berdepan musibah.

Azmi Hamid
Azmi Hamid

Menurutnya, Malaysia mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan yang wajar dimanfaatkan untuk membantu Nepal.


Katanya, bantuan boleh merangkumi kepakaran penyelamatan, perubatan dan logistik, selain bekalan makanan, air bersih, perlindungan sementara serta sokongan pemulihan pascabencana.


MAPIM turut menggesa supaya bantuan yang dihantar diselaraskan secara rapat dengan kerajaan Nepal dan agensi kemanusiaan tempatan bagi memastikan bantuan sampai ke kawasan paling terjejas serta golongan yang paling memerlukan.


Pada masa sama, Mohd Azmi menyeru rakyat Malaysia menunjukkan solidariti kemanusiaan kepada rakyat Nepal melalui sumbangan dan sokongan kepada usaha bantuan yang dilaksanakan organisasi kemanusiaan berwibawa.


"MAPIM berpandangan bahawa tragedi kemanusiaan di mana-mana sahaja harus menggerakkan hati nurani manusia.


"Ketika Malaysia sendiri menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, solidariti kepada rakyat Nepal yang sedang berduka mempunyai makna yang sangat mendalam," ujarnya.


Beliau berkata, kemerdekaan memberikan peluang kepada rakyat Malaysia menentukan nasib sendiri, namun nilai kemanusiaan mengingatkan bahawa nasib manusia saling berkait.


Mohd Azmi turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia atas keprihatinan serta tindakan membantu Nepal.


Beliau pada masa sama menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan solidariti kepada seluruh rakyat Nepal yang sedang menghadapi bencana berkenaan.


"Semoga semua mangsa yang terjejas diberikan kekuatan, keselamatan dan perlindungan, manakala usaha menyelamat dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page