top of page

Malaysia, UNODC kukuh kerjasama tangani jenayah rentas sempadan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 day ago
2 min read
DS Saifuddin (tengah) dalam perbincangan bersama Wakil Serantau UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik
DS Saifuddin (tengah) dalam perbincangan bersama Wakil Serantau UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik

Malaysia dan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam menangani ancaman jenayah terancang rentas sempadan yang semakin kompleks, termasuk jenayah berasaskan siber.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pertemuan bersama Wakil Serantau UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik itu diadakan pada hari terakhir beliau berada di Abu Dhabi sempena Kongres Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-15 Mengenai Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah.


Menurutnya, pertemuan itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan rangkaian jenayah yang kini memanfaatkan teknologi digital untuk memperluas kegiatan merentasi sempadan dan bidang kuasa.


"Pertemuan sempena Kongres Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-15 Mengenai Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah ini memberi ruang untuk kami bertukar pandangan mengenai landskap jenayah terancang rentas sempadan yang semakin kompleks, khususnya apabila rangkaian jenayah kini memanfaatkan teknologi digital untuk memperluas kegiatan merentasi sempadan dan bidang kuasa," katanya dalam kenyataan media.


Saifuddin berkata, sebagai negara yang terletak strategik di tengah-tengah ASEAN, Malaysia memberi perhatian serius terhadap perkembangan ancaman berkenaan.


Menurut beliau, pendekatan Malaysia bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan bersepadu, malah merangkumi aspek pencegahan, pemutusan aliran kewangan jenayah serta kerjasama serantau dan antarabangsa.


"Kami turut membincangkan ruang untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan UNODC melalui inisiatif yang lebih praktikal dan berorientasikan hasil, khususnya dalam menangani jenayah terancang berasaskan siber, aliran haram manusia dan kontraban serta penyalahgunaan teknologi baharu oleh rangkaian jenayah," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia melihat kepentingan UNODC untuk terus menyokong negara-negara ASEAN menerusi pembangunan kapasiti serantau, perkongsian maklumat dan amalan terbaik.


Menurutnya, ancaman jenayah rentas sempadan terus berubah dan berkembang seiring kemajuan teknologi serta peningkatan keupayaan rangkaian jenayah.


"Justeru, jaringan kerjasama yang kukuh dengan rakan serantau dan antarabangsa menjadi sebahagian penting daripada usaha kita memastikan keselamatan Malaysia terus terpelihara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page