top of page

Malaysia sedia bantu Indonesia tangani kebakaran hutan, jerebu - PM

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
20 hours ago
1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kesediaan Malaysia untuk membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan lahan yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan kesihatan serta kehidupan rakyat Malaysia.


Beliau berkata, perkembangan kebakaran berkenaan dipantau rapat memandangkan kesannya turut memaksa penutupan sekolah di beberapa negeri dan kawasan di Malaysia.


Anwar turut mengiktiraf kesungguhan pemerintah Indonesia yang telah mengerahkan puluhan ribu anggota serta pelbagai aset udara bagi membendung kebakaran yang semakin membimbangkan itu.


Menurut beliau, usaha menangani bencana berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah, terutama dengan keluasan kawasan terjejas serta keadaan cuaca yang tidak menentu.


Dalam semangat kebersamaan dan hubungan erat antara negara jiran, Anwar menegaskan bahawa cabaran rentas sempadan perlu ditangani menerusi tekad serta tanggungjawab bersama.


Sehubungan itu, Malaysia telah mengusulkan mekanisme kerjasama di peringkat ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan kolektif dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan.


Pendekatan serantau itu penting bagi memastikan negara-negara terlibat dapat bekerjasama dengan lebih berkesan dalam menghadapi bencana yang memberi kesan melangkaui sempadan negara.


Anwar menegaskan Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia, sebagaimana yang telah ditawarkan sebelum ini.


Beliau berkata, semangat kejiranan sebenar menuntut negara-negara serantau saling menyokong ketika berdepan musibah, dengan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.


Malaysia berharap usaha bersama yang diperkukuh melalui kerjasama ASEAN dapat membantu menangani kebakaran hutan dan lahan serta mengurangkan kesan jerebu terhadap masyarakat di rantau ini.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page