top of page

Malaysia, Pakistan setuju tubuh 'Working Group', selaras bidang keselamatan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 44 minutes ago
  • 2 min read
DS Saifuddin mendoakan pahlawan Pakistan yang berjasa selepas meletak karangan bunga di Martyrs’ Memorial pada permulaan lawatannya ke Pakistan, semalam
DS Saifuddin mendoakan pahlawan Pakistan yang berjasa selepas meletak karangan bunga di Martyrs’ Memorial pada permulaan lawatannya ke Pakistan, semalam

Malaysia dan Pakistan bersetuju secara prinsip menubuhkan Working Group antara kedua-dua kementerian bagi menyelaras tindakan susulan dan memastikan bidang kerjasama keselamatan dan penguatkuasaan yang dipersetujui, dapat dilaksanakan secara lebih tersusun serta berkesan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang kini dalam sesi lawatan kerja rasmi di Pakistan berkata, pertemuan tersebut membuka ruang untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang praktikal, berimpak dan mampu diterjemahkan kepada tindakan susulan yang jelas.


Ujarnya, perbincangan yang diadakan itu meliputi pelbagai aspek keselamatan dan penguatkuasaan, termasuk kerjasama kepolisan, perkongsian risikan, pencegahan keganasan, pembanterasan dadah dan jenayah rentas sempadan, keselamatan siber, imigresen, pemerdagangan orang, pengurusan banduan serta penguatkuasaan maritim.


"Sebagai menteri yang memikul tanggungjawab dalam hal ehwal dalam negeri dan keselamatan, kami berkongsi pandangan bahawa hubungan erat Malaysia-Pakistan perlu disokong oleh kerjasama yang sama kukuh antara institusi keselamatan dan penguatkuasaan kedua-dua negara.


"Malaysia dan Pakistan telah sekian lama menjalin hubungan yang erat berasaskan persahabatan, saling menghormati dan kepercayaan.


"Dalam landskap keselamatan global yang semakin mencabar, kerjasama strategik seperti ini perlu terus diperkukuh agar kedua-dua negara sentiasa bersedia mendepani ancaman baharu yang merentasi sempadan," katanya dalam satu kenyataan.


Terdahulu, Saifuddin memaklumkan beliau telah menghadiri mesyuarat dua hala bersama Federal Minister for Interior and Narcotics Control of Pakistan, H.E. Syed Mohsin Raza Naqvi di Islamabad sambil menyampaikan salam daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Dalam kenyataan sama, Saifuddin menzahirkan keyakinan bahawa hubungan lebih erat antara institusi keselamatan dan penguatkuasaan Malaysia-Pakistan akan terus menyumbang kepada keamanan, kestabilan serta kesejahteraan serantau.


"Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Pakistan dalam memudah cara dialog antarabangsa yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau, di samping berkongsi pengalaman Malaysia dalam membantu memudah cara rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja.


"Pengalaman kedua-dua negara membuktikan bahawa dialog, diplomasi dan kerjasama kekal sebagai asas penting dalam menghadapi cabaran keselamatan dan geopolitik yang semakin kompleks," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page