Malaysia–Indonesia kukuh kerjasama strategik pendidikan tinggi, penyelidikan
- 3 hours ago
- 1 min read

Malaysia dan Indonesia terus memperkukuh hubungan strategik dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan, dengan fokus kepada kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan penyelidik kedua-dua negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan, pertemuan beliau bersama rakan sejawatnya, Prof Brian Yuliarto di Jakarta sempena lawatan kerja dua hari ke republik itu membuka ruang kepada pembentukan kluster penyelidikan bersama.
Antara lain penyelidikan itu akan melibatkan bidang keselamatan makanan, ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan kecerdasan buatan (AI).
"Kita telah bersetuju pada dasarnya untuk membina kluster bagi bidang itu dengan mengenal pasti pakar dari Malaysia dan Indonesia untuk bekerjasama bagi membangunkan bidang yang dikenal pasti.
"Kerana kita mempunyai kepakaran daripada kedua-dua negara yang tidak seharusnya kita pencilkan ataupun kita membiarkan kepakaran itu berada di tempat yang lain," katanya dipetik.
Sementara itu tambah Zambry, kerjasama berkenaan dijangka melibatkan beberapa IPT terpilih di Malaysia dan Indonesia serta penyelidik di bawah Konsortium Akademik Malaysia-Indonesia (KAMI).
Perbincangan awal juga telah dimulakan antara wakil Education Malaysia dan pihak berkuasa pendidikan tinggi Indonesia bagi memperincikan pelaksanaan inisiatif tersebut.
"Hasilnya, kita akan serahkan kepada pihak berkaitan daripada kedua-dua negara. Kita tidak ada jarak masa buat masa ini kerana dari segi penelitiannya itu akan dikenal pasti," tambahnya.





