top of page

Mahkamah tolak permohonan Zuraida, arah bayar RM50,000 kepada KEADILAN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 8
  • 1 min read

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyemak keputusan mahkamah terdahulu yang membenarkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merayu jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada parti berkenaan kerana melanggar syarat bon.


Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan Zuraida dengan alasan kebenaran semakan hanya diberikan jika terdapat keadaan khas dan luar biasa selain mengelakkan ketidakadilan.


"Pada pandangan kami, pindaan terhadap persoalan itu bertujuan untuk mencari penyelesaian yang wajar bagi rayuan serta sebagai panduan kepada kes akan datang berdasarkan merit fakta kes ini.


"Dengan memperhalusi persoalan asal, ia tidak banyak mengubah persoalan yang dikemukakan di hadapan panel Mahkamah Persekutuan dan bukan suatu pelaksanaan bidang kuasa yang melampaui dalam perkara ini," katanya dipetik.


Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Ampang itu mengemukakan permohonan untuk mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu yang membenarkan KEADILAN meneruskan rayuan terhadap pengurangan jumlah ganti rugi daripada RM10 juta kepada RM100,000 yang perlu dibayar Zuraida kepada parti itu.


KEADILAN menyaman Zuraida pada 2020, mendakwa beliau melanggar bon kontraktual RM10 juta apabila menyertai Bersatu susulan Langkah Sheraton pada Februari tahun itu.

Mahkamah Tinggi pada 23 Jun 2023 membuat keputusan memihak kepada KEADILAN dan memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada parti itu. Bagaimanapun Mahkamah Rayuan pada Disember 2024 mengurangkan jumlah ganti rugi kepada RM100,000.


Pada sidang mahkamah semalam, Hakim Datuk Rhodzariah yang bersidang bersama hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah turut memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada KEADILAN.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page