top of page

MADANINET pacu transformasi luar bandar, sediakan internet berkelajuan tinggi

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 days ago
  • 2 min read
Capaian internet melalui parabola pilihan terbaik di kawasan terpencil atau pendalaman
Capaian internet melalui parabola pilihan terbaik di kawasan terpencil atau pendalaman

Program MADANINET muncul sebagai pemangkin utama transformasi perkhidmatan awam khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman sekali gus memastikan rakyat menikmati akses internet berkelajuan tinggi tanpa mengira lokasi.


Kementerian Digital dalam kenyataan berkata inisiatif strategik melalui Jabatan Digital Negara (JDN) itu memberi tumpuan kepada penilaian ketersediaan infrastruktur serta penyediaan capaian internet berkapasiti tinggi menerusi rangkaian MyGov*Net terutamanya melibatkan fasiliti kesihatan di kawasan sukar dicapai.


"Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi di klinik luar bandar, malah merapatkan jurang digital dengan memastikan komuniti pedalaman menerima rawatan setaraf kawasan bandar," kata kenyataan itu.


Jelas kenyataan itu lagi, sehingga April 2026, sebanyak 2,883 kemudahan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) telah berjaya dihubungkan melalui rangkaian MyGov*Net.


Jelasnya lagi rangkaian itu menggunakan pelbagai teknologi mengikut kesesuaian geografi, termasuk gentian optik, selular, Fixed Wireless Access (FWA) dan Very Small Aperture Terminal High Throughput Satellite (VSAT HTS).


Bagi kawasan yang berdepan kekangan geografi, teknologi VSAT HTS dan selular digunakan sebagai alternatif utama bagi memastikan perkhidmatan agensi kekal beroperasi tanpa gangguan, katanya.


Kemudahan kesihatan luar bandar lebih baik dengan capaian internet berkelajuan tinggi
Kemudahan kesihatan luar bandar lebih baik dengan capaian internet berkelajuan tinggi

Kenyataan itu menjelaskan keberkesanan MADANINET terserlah dalam sektor kesihatan apabila capaian stabil membolehkan pelaksanaan perkhidmatan seperti teleperubatan, rekod kesihatan elektronik dan pemantauan pesakit secara masa nyata dilakukan dengan lebih cekap.


Tambahnya, program ini bukan sekadar menyediakan talian internet, malah berfungsi sebagai pemangkin transformasi sektor awam dengan memastikan kesinambungan perkhidmatan, mempercepat penyampaian maklumat, serta memperluas penggunaan aplikasi digital kerajaan secara inklusif.


Bagi memastikan kualiti perkhidmatan sentiasa berada pada tahap optimum, Program MADANINET turut melaksanakan peranan inspektorat turun padang, katanya.


Dalam pada itu, pengurusan tertinggi Kementerian Digital, JDN dan KKM telah melawat 21 kemudahan kesihatan terpilih daripada keseluruhan 2,079 Klinik Kesihatan dan Klinik Desa di kawasan luar bandar sejak Oktober 2022.


Jelasnya, lawatan ini bertujuan untuk memantau keberkesanan program, mengenal pasti lokasi yang mengalami gangguan liputan, serta menangani isu pelaksanaan secara terus di lapangan.


"Salah satu pencapaian signifikan adalah pemasangan teknologi VSAT HTS di 116 fasiliti pedalaman yang sebelum ini ketiadaan infrastruktur gentian optik.


"Melalui peningkatan ini, fasiliti berkenaan kini menikmati kelajuan internet sehingga 25Mbps, iaitu peningkatan drastik berbanding hanya 4Mbps sebelum ini," katanya.


Kementerian menyatakan lonjakan kelajuan ini membolehkan urusan pentadbiran dan klinikal seperti penggunaan Hospital Information System (HIS), sidang video konsultasi perubatan, serta pengurusan sumber manusia melalui HRMIS dilaksanakan dengan lebih efisien dan pantas.


"Secara keseluruhannya, pemantauan berterusan akan terus dijalankan oleh semua pihak berkepentingan bagi memastikan manfaat teknologi ini dirasai sepenuhnya oleh rakyat.


"Inisiatif MADANINET mencerminkan tekad kerajaan dalam memastikan kemajuan teknologi dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat, selaras dengan visi besar memacu Malaysia ke arah Negara AI 2030," kata kenyataan itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page