top of page

M'sia-Pakistan perkukuh kerjasama banteras dadah, teknologi identiti digital

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 17 hours ago
  • 2 min read
DS Saifuddin (kanan sekali) berbincang dengan pegawai tinggi agensi anti dadah Pakistan
DS Saifuddin (kanan sekali) berbincang dengan pegawai tinggi agensi anti dadah Pakistan

Malaysia dan Pakistan berhasrat memperkukuh kerjasama dalam membanteras ancaman dadah rentas sempadan, termasuk melalui perkongsian risikan, operasi berasaskan risikan serta pertukaran kepakaran antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dibincangkan ketika lawatan ke Ibu Pejabat Anti-Narcotics Force (ANF) Pakistan di Islamabad pada hari kedua lawatan kerja rasmi beliau ke negara itu.


Beliau berkata, taklimat yang disampaikan Ketua Pengarah ANF, Mejar Jeneral Abdul Moeed turut menyentuh ancaman dadah semasa, laluan penyeludupan serantau serta operasi penguatkuasaan agensi berkenaan.


"Ancaman dadah kini semakin kompleks, khususnya peningkatan dadah sintetik seperti methamphetamine serta penglibatan rangkaian jenayah terancang transnasional yang beroperasi merentas sempadan," katanya dalam hantaran di media sosial.


Menurut Saifuddin, kedudukan Pakistan yang berhadapan secara langsung dengan aliran dadah dari Afghanistan menjadikan kerjasama dengan negara itu penting kepada Malaysia, terutama apabila laluan penyeludupan turut menjangkau Asia Timur dan Asia Tenggara.


"Kita tidak boleh menangani ancaman ini hanya dalam lingkungan sempadan negara atau rantau ASEAN," katanya.


Beliau berkata, Malaysia dan Pakistan mempunyai asas kerjasama operasi yang kukuh, termasuk lebih 28 kes yang pernah diselaraskan bersama antara 2012 hingga 2018.


"Justeru, antara fokus seterusnya ialah menggiatkan semula kerjasama tersebut melalui perkongsian risikan yang lebih aktif, operasi berasaskan risikan secara terselaras, latihan serta pertukaran kepakaran antara agensi kedua-dua negara," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama membanteras narkotik bagi menyediakan kerangka lebih tersusun untuk memperkukuh kerjasama sedia ada.


Pada hari yang sama, beliau bersama delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan ke ibu pejabat National Database and Registration Authority (NADRA) di Islamabad bagi meninjau ekosistem pengurusan identiti dan pendaftaran awam yang dibangunkan Pakistan.


Katanya, delegasi Malaysia menerima taklimat daripada Pengerusi NADRA, Lt. Gen. Muhammad Munir Afsar mengenai pembangunan pangkalan data identiti dan biometrik negara itu serta penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.


"Kami turut bertukar pandangan dan pengalaman mengenai sistem pengurusan identiti di kedua-dua negara, termasuk penggunaan kad pengenalan fizikal dan digital, pengesahan biometrik serta penyampaian perkhidmatan awam melalui platform digital," katanya.


Menurut beliau, Malaysia dan Pakistan turut bertukar pandangan serta pengalaman mengenai sistem pengurusan identiti kedua-dua negara, termasuk penggunaan kad pengenalan fizikal dan digital, pengesahan biometrik serta penyampaian perkhidmatan awam melalui platform digital.


Saifuddin berkata, lawatan ke fasiliti NADRA selepas sesi perbincangan turut memberi peluang kepada delegasi Malaysia melihat sendiri keupayaan operasi dan teknologi yang dibangunkan.


"Pengalaman ini amat berguna dalam usaha Kementerian Dalam Negeri untuk terus meneroka penggunaan teknologi yang dapat memperkukuh keselamatan, meningkatkan kecekapan sistem serta memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page