LPPSA: Peminjam boleh urus sendiri pelepasan gadai, lantik peguam hanya cadangan
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 1 min read

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menegaskan peminjam masih mempunyai pilihan untuk menguruskan sendiri urusan pelepasan gadai atau penyerahan hak selepas pembiayaan perumahan diselesaikan sepenuhnya dan bukannya diwajibkan melantik peguam seperti yang disalah faham ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Datuk Ahmad Ridzuan Idris berkata urusan pelepasan gadai tersebut bukanlah polisi baharu tetapi telah lama diamalkan sebagai sebahagian daripada proses selepas pembiayaan selesai sepenuhnya.
"Tanggungjawab untuk menyempurnakan urusan pelepasan gadaian atau penyerahan hak sentiasa terletak kepada peminjam.
"Mereka masih mempunyai pilihan untuk menguruskan sendiri urusan tersebut, tertakluk kepada pematuhan prosedur dan keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan beberapa salah faham berhubung hebahan berkaitan urusan pelepasan gadai selepas penyelesaian penuh pembiayaan perumahan.
Menurutnya, cadangan LPPSA supaya peminjam melantik peguam adalah demi melindungi kepentingan peminjam sendiri, bukan bertujuan mewujudkan kewajipan baharu atau mengenakan kos tambahan.
"Pemerhatian LPPSA mendapati terdapat peminjam yang tidak menyempurnakan urusan pelepasan gadaian walaupun pembiayaan telah selesai sepenuhnya.
"Keadaan ini boleh menimbulkan kesukaran pada masa hadapan, khususnya melibatkan urusan pewarisan, pembahagian pusaka, pindah milik atau urusan lain yang berkaitan dengan hak milik hartanah," jelas beliau.
LPPSA turut mengingatkan peminjam supaya menyempurnakan urusan pelepasan gadai dengan segera selepas pembiayaan selesai sama ada secara sendiri atau melalui peguam bagi mengelakkan komplikasi pada masa depan.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan LPPSA di talian 03-8880 1600 atau melalui portal eTiket, Live Chat, e-Kaunter dan LiA Chatbot di laman web rasmi LPPSA.




Comments