KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) masih dalam tempoh menilai logo manakah yang paling sesuai digunakan dalam pilihan raya.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor logo mata dianggap mampu menarik pengundi di kerusi kerusi yang ditandingi berbanding logo PH.
"Banyak analisis menyebut apakah logo jadi perkara utama. Kepada akar umbi benar. Mereka beri pandangan dan kita kena dengar. Bahawa guna logo KEADILAN lebih mampu beri kemengan.
"Saya baca satu analisis seolah olah KEADILAN nak pastikan logo parti diterima, satu lagi kata sebenarnya ini hanya suara akar umbi dan isu pengundi luar, peratus pengundi rendah tak dijadikan faktor.
"Sebenarya kita lihat soal logo, peratus keluar mengundi dan suasana pilihan raya. Pada Pilihan Raya Umum (PRU)14 mereka kenal dacing, mata dan roket.
"Dalam PRN Melaka di bandar mudah tetapi kalau luar bandar pengundi keliru antara logo PN dan PH. Mereka tanya mana logo mata? Kita kata inilah logo PH, mereka kata itu logo DAP.
"Jadi perkara macam ini menjadi masalah," katanya dalam forum maya bertajuk "KEADILAN Logo Sendiri, Obsesi Semberono", malam tadi.
Kata Ahli Parlimen Ledang itu lagi, isu logo tidak timbul dalam PRU 14 lalu kerana ketika itu matlamat lebih besar adalah untuk menumbangkan BN.
Namun, katanya tokoh tokoh yang sama waktu ini telah pun berpecah dan menubuhkan parti masing masing, mereka mempunyai pendirian yang pelbagai pula.
"Pada PRU lepas satu persetujuan dalam PH semua guna logo mata. Baik DAP, Amanah guna logo KEADILAN. Kita menang.
"Kita masuk PRU pakai logo sama. Kita ada muafakat PH ketika itu (untuk jatuhkan kleptokrat dengan apa logo sekali pun). Bila ada konvensyen yang diumumkan bukan hanya kerusi dan pimpinan tetapi juga prinsip asas seperti reformasi politik, tolak penyelewengan, tatakelola baik. Perkara asas ini menajdi tarikan kepada rakyat beri sokongan ketika itu
"Lepas PRU 14 kerajaan PH memerintah 22 bulan, kemudian dirampas mandat. Selepas itu logo menjadi isu," katanya.
Mengulas kritikan netizen bahawa PH semakin berpecah atau KEADILAN tidak toleran dalam kerjasama bersama parti pembangkang lain, Syed Ibrahim menganggap hal itu hanya pendapat segelintir pihak, sedangkan hakikatnya berlainan.
"Kita selesai isu kerusi antara PH kemudian baru kita runding dengan pembangkang lain.
"Ada orang kata tak sehaluan. Ini adalah cakap cakap. Sebagai pengerusi negeri saya kena fight untuk kerusi parti, begitu juga Amanah dan DAP. Tawar menwar dan kita justify kerusi yang kita mahu, berkenaan komposisi dan jentera. Kemudian baru kita lihat perbincangan dengan pembangkang lain.
"Ada orang kata kenapa tidak runding dengan Warisan, Pejuang? Sangat menarik politik selepas tumbangnya Umno, meriah rundingan ini. Namun asal pokoknya ialah kembali kepada prinsip asas.
"Contohnya kita tolak salah guna kuasa, tolak lompat parti, setuju rakyat diutamakan, Undi 18 dan lain lain. Kadang kadang yang menjadi fokus ialah perkara tak dipersetujui.
"Bila bincang dengan PH hal ini setuju tetapi bincang dengan Pejuang, Warisan mereka berbeza. Termasuk perkara seperti apa yang ada dalam MoU kerjasama.
"Bunyi macam tak ada persefahaman. Namun kita terbuka, ruang sentiasa ada tetapi kadang kadang ada ego masing masing. Ego ini kena rendahkan dulu dan cari matlamat untuk tumbangkan BN dan PN yang menyebabkan kita dalam keadaan sukar sekarang," katanya lagi.
Syed Ibrahim turut menyeru kepada pengundi Johor untuk keluar mengundi kerana PRN kali ini dirancang oleh puak kleptokrat dan untuk kepentingan mereka melepaskan diri. Amat malang sekiranya rakyat tidak menolak golongan bermasalah tersebut.
Comments