top of page

Lesen perniagaan akan dirampas jika diberi kepada warga asing

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
2 hours ago
1 min read

Kerajaan memberi amaran lesen perniagaan akan dirampas jika didapati diserahkan kepada warga asing, selain memperketat penguatkuasaan terhadap kegiatan tanpa lesen sementara rundingan penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar diteruskan.


Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, tindakan penguatkuasaan telah dilakukan hampir saban hari terhadap pihak yang menjalankan kegiatan tanpa lesen dan tanpa kebenaran, termasuk melalui tangkapan dan rampasan.


"Untuk dewan bandaraya, kita beri amaran kalau berlaku kes di mana pemegang lesen menyerahkan lesen kepada orang asing, lesen itu kena rampas.


"Sebab itu kita dapat kawal sedikit (perniagaan daripada warga asing), tapi saya setuju dengan gesaan Tampin (Datuk Mohd Isam Mohd Isa) sementara mereka belum dibawa pulang ke negara asal, penguatkuasaan harus lebih tegas," katanya.


Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini ketika Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).


Mohd Isam (BN-Tampin) ingin tahu strategi penguatkuasaan bersepadu terkini antara agensi kerajaan bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia di sempadan negara, selain tindakan tegas terhadap premis atau perniagaan haram yang dikendalikan pelarian Rohingya sehingga menjejaskan mata pencarian peniaga tempatan.


Mengulas lanjut, Anwar berkata tindakan segera kerajaan ketika ini adalah berunding bagi mengatur penghantaran pulang pelarian berkenaan ke Myanmar.


Katanya, dalam rundingan itu, kerajaan akan memberi penekanan terhadap perkara berkenaan sebaik mungkin, selain menerima jaminan daripada Kementerian Luar Myanmar kepada Menteri Luar (Malaysia) berhubung proses penghantaran pulang itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page