Lebih 50,000 lepasan tahfiz, pondok dapat manfaat ke IPTA
- Suara Keadilan

- 58 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Tinggi menjangkakan kira-kira 50,000 lepasan tahfiz/pondok persendirian bakal mendapat manfaat dari keputusan Kabinet berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan yang diumum baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim (gambar) berkata, pengumuman yang memberi laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC, bagi melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi mengikuti program-program tertentu itu memberi penambahan paling signifikan untuk pelajar aliran agama.
"Walaupun ada lepasan tahfiz yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) telah melanjutkan pengajian di IPTA, keputusan terbaharu itu menjadi penambahan paling signifikan untuk pelajar aliran agama.
"Untuk lepasan pondok persendirian, terdapat kira-kira 50,000 orang manakala lepasan SMPC/UEC tidak sampai 9,000 orang.
"Jadi, penambahan yang paling signifikan ialah kepada pelajar aliran agama... kita akan bagi peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran di universiti awam," katanya dipetik.
Adam Adli berkata begitu kepada pemberita selepas menghadiri Program Temu Siswa (Tesis) Zon Utara di Universiti Teknologi Mara Kedah di Sungai Petani pada Sabtu.
Beliau sementara itu menegaskan, kerajaan sentiasa mendengar pandangan pelbagai pihak berkaitan perkara tersebut dan berharap keputusan Kabinet itu tidak dipolemikkan.
"Kita ambil pandangan pelbagai pihak... kita tidak menolak tepi keresahan dan kita tidak menafikan bantahan... kita buka perbincangan yang lebih luas.
"Bagi masa kepada situasi ini untuk reda sedikit, Kita harap situasi ini dapat diuruskan dengan baik supaya membawa kepada impak positif seperti yang diharapkan," tambahnya.




Comments