Lawatan rasmi Anwar ke Turkiye tumpu tingkat kerjasama bidang strategik
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 3 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan rasmi pertamanya ke Turkiye bermula semalam memberikan tumpuan kepada perbincangan subtantif bagi mengukuhkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Ankara sekali gus memberikan nilai persahabatan strategik sebenar.
Perdana Menteri berkata, pertemuannya dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang dijadualkan hari ini menumpukan usaha meningkatkan kerjasama strategik melibatkan perdagangan, pelaburan, diplomasi, pendidikan, keselamatan, kebudayaan dan pelancongan.
"Kunjungan ini saya anggap amat penting. Presiden [Erdogan] bergurau dengan saya, jika tidak datang, beliau tidak mahu berkawan lagi kerana beliau telah membuat lawatan ke Malaysia dan saya menganggap beliau sebagai sahabat karib," katanya ketika berucap di hadapan 200 diaspora Malaysia di Ankara semalam, petik laporan Bernama.
Turut serta dalam delegasi Malaysia itu isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.
Lawatan rasmi Anwar itu adalah sebagai membalas lawatan rasmi Erdogan sebelum ini ke Malaysia pada Februari 2025.
Anwar menjelaskan Erdogan yang sering mengingatkannya agar tidak melengahkan kunjungan berkenaan.
"Namun saya beritahu beliau, walaupun belum ada lawatan rasmi sebelum ini, saya telah dua kali ke Turkiye, dengan kunjungan pertama dibuat selepas gempa bumi besar yang melanda negara itu.
"Selepas itu, saya singgah beberapa jam dari Riyadh, Arab Saudi ke sini sebelum ke Kaherah, Mesir bagi bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dalam usaha mendapatkan sokongan negara Islam yang lebih tegas membela nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza," katanya.
Terdahulu Wisma Putra dalam kenyataan berkata Perdana Menteri Anwar dijadual menghadiri Istiadat Sambutan Rasmi di Kompleks Presiden di Ankara hari ini diikuti pertemuan empat mata dengan Presiden Erdoğan bagi membincangkan kerjasama dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin itu kemudian dijadual mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Strategik Peringkat Tinggi (HLSC) Malaysia–Türkiye yang menjadi platform untuk menilai status kerjasama dua hala, menyemak perkembangan inisiatif yang sedang dilaksanakan dan meneroka bidang kerjasama baharu.
Perbincangan merangkumi isu-isu berkaitan perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, pertahanan, keselamatan, tenaga, semikonduktor, kesihatan, pelancongan, pendidikan dan pertukaran antara masyarakat serta kerjasama serantau dan antarabangsa.
Kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan pertukaran beberapa dokumen utama termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi; MoU mengenai Kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Investment and Finance Office of the Presidency of the Republic of Türkiye; MoU mengenai Kerjasama antara EXIM Bank Malaysia dan Turk Eximbank; Memorandum Persefahaman dan Kerjasama antara Institut Kajian Strategik dan Antaradangsa (ISIS) Malaysia dan Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA) dan Surat Setuju Terima Perolehan Satu Unit Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2.
Perdana Menteri turut akan terlibat dalam Mesyuarat Meja Bulat Perniagaan bersama pemain-pemain industri utama Türkiye bagi mempromosikan peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia.
Melalui kerjasama SETA, sebuah badan pemikir terkemuka Türkiye, Perdana Menteri juga dijadual untuk menyampaikan syarahan umum bertajuk “Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Türkiye” yang akan menggariskan keutamaan dasar luar Malaysia dan inisiatif bagi meningkatkan lagi kerjasama dengan Türkiye.
Lawatan ini memperlihatkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan dengan Republik Türkiye, terutamanya selepas hubungan kedua-dua negara dinaiktaraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Julai 2022.
Dari Januari hingga November 2025, jumlah dagangan dua hala Malaysia dengan Türkiye mencecah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion).
Pada 2024, Türkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat dengan jumlah dagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion).





