top of page

Laporan RCI TH jadi pengajaran, kukuhkan tadbir urus - Dr Fuziah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 39 minutes ago
  • 2 min read

Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) perlu dijadikan pengajaran bagi memastikan institusi berkenaan terus diperkukuh melalui tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, ketika memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dari 2018 hingga 2020, antara keutamaan kerajaan ketika itu ialah melaksanakan proses pemulihan Tabung Haji sepenuhnya.


"Ketika saya diberi amanah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri antara keutamaan kami ialah memastikan proses pemulihan Tabung Haji dapat dilaksanakan bagi melindungi simpanan pendeposit dan memulihkan keyakinan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Fuziah, laporan RCI yang didedahkan semalam menjelaskan bahawa masalah yang dihadapi Tabung Haji berpunca daripada kelemahan tadbir urus, keputusan pelaburan yang tidak berhemat serta kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang sewaktu pentadbiran kerajaan BN.


Beliau yang juga Setiausaha Agung KEADILAN berkata, langkah pemulihan yang dimulakan sebaik sahaja Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 2018 merupakan usaha penting bagi mengembalikan kestabilan institusi itu, namun pengalaman tersebut perlu dijadikan iktibar agar kelemahan sama tidak berulang.


"Proses pemulihan yang dimulakan pada tahun 2018 adalah langkah penting untuk mengembalikan kestabilan institusi ini. Namun, pemulihan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya apa yang berlaku mesti dijadikan iktibar agar kesilapan yang sama tidak berulang lagi," katanya.


Fuziah turut menyokong pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sebarang pihak yang didapati menyebabkan kerugian atau melanggar undang-undang perlu disiasat dan diambil tindakan mengikut proses perundangan.


"Sebab itu, saya menyambut baik pendirian Perdana Menteri bahawa mana-mana pihak yang menyebabkan kerugian atau melanggar undang-undang hendaklah disiasat. Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, biarlah lunas undang-undang menjalankan tanggungjawabnya."


Beliau menegaskan bahawa Tabung Haji merupakan institusi yang dibina atas kepercayaan umat Islam dan hanya boleh dipelihara menerusi amalan tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.


Sehubungan itu, beliau berharap segala syor yang dikemukakan dalam laporan RCI dapat dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan Tabung Haji terus kekal kukuh dan diyakini oleh umat Islam pada masa hadapan.


"Semoga segala syor RCI dapat dilaksanakan untuk memastikan institusi yang menjadi kebanggaan umat Islam ini terus kekal kukuh untuk generasi akan datang," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page