top of page

KULFIT semarak Hari Kebangsaan, Wangsa Maju bergema semangat patriotik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 33 minutes ago
  • 2 min read
Sebahagian peserta Program kecergasan KULFIT sempena menyambut Hari Kebangsaan di Wangsa Maju
Sebahagian peserta Program kecergasan KULFIT sempena menyambut Hari Kebangsaan di Wangsa Maju

Program kecergasan KULFIT menyemarakkan sambutan menuju Hari Kebangsaan apabila dilaksanakan serentak di 11 taman rekreasi di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kelmarin.


Program edisi khas itu turut mendapat sambutan meriah warga kota pelbagai kaum, dengan Taman Tasik Danau Kota, Wangsa Maju menjadi antara lokasi tumpuan utama.


Penganjuran berkenaan bukan sahaja menggabungkan aktiviti kecergasan dan gaya hidup sihat, malah menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme serta mengeratkan hubungan masyarakat setempat.


Kejayaan program itu turut mendapat sokongan mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Lai Chen Heng, yang sebelum ini konsisten menyokong pelbagai inisiatif komuniti DBKL.


Program dimeriahkan dengan sesi senamrobik khas Merdeka, peragaan fesyen patriotik serta persembahan bertenaga oleh pempengaruh Zumba, Adza Tuty dan kumpulan Jojo Sisters Linedance.


Andre Lai memberi ucapan
Andre Lai memberi ucapan

Suasana turut diceriakan dengan sesi cabutan bertuah yang disempurnakan oleh Pn. Ivy Teoh daripada Jojo Linedance.


Andre Lai berkata penglibatan aktif masyarakat dalam sambutan Hari Kebangsaan merupakan gambaran semangat rakyat dalam menghayati kemerdekaan negara.


"Santuni Hari Kebangsaan adalah satu kewajipan sebagai seorang warganegara. Saya amat gembira melihat warga setempat memanfaatkan Taman Danau Kota dengan gaya hidup yang sihat dan cergas, dan pada masa yang sama menyantuni semangat kepelbagaian," katanya dalam kenyataan.


Beliau turut menggesa masyarakat berkongsi kemudahan taman rekreasi secara harmoni supaya semua golongan dapat menikmati ruang awam berkenaan.


"Saya berharap taman ini dapat dikongsi bersama. Sekiranya ada kumpulan tarian, beri laluan kepada mereka yang ingin menikmati keindahan taman. Tahniah kepada KULFIT yang amat konsisten menjayakan inisiatif DBKL," katanya.


Sementara itu, Ivy berkata beliau teruja melihat perkembangan landskap serta penggunaan taman rekreasi di ibu negara yang semakin aktif.


"Saya sendiri pengguna taman dan telah melihat taman ini berkembang daripada kurang pengguna sehingga sekarang begitu aktif. Terima kasih DBKL. Ini adalah Hari Kebangsaan yang amat menggembirakan," katanya.


Penganjuran KULFIT edisi khas Hari Kebangsaan itu dilihat bukan sekadar menjadi wadah meningkatkan kecergasan fizikal, malah platform memperkukuh perpaduan dan keharmonian komuniti akar umbi di Kuala Lumpur.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page