KPM teliti kaedah pelaksanaan PdPR, pastikan sesi pembelajar tidak terjejas
- Suara Keadilan

- Mar 16
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti secara menyeluruh cadangan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya kerajaan menguatkuasakan cadangan bekerja dari rumah (BDR) kepada penjawat awam.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (gambar) berkata, kementerian itu komited memastikan sebarang keputusan diambil tidak menjejaskan proses pembelajaran agar sesi pendidikan dapat diteruskan dengan lancar.
"Bagi pihak KPM, kita akan buat keputusan yang terbaik bagi warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak.
"Bagaimanapun, semua pihak perlu menunggu keputusan serta pengumuman akhir daripada Kabinet berhubung pengaturan BDR sebelum sebarang ulasan lanjut dapat diberikan," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Parlimen Taiping di Taman Tasik Taiping, semalam.
Ketegangan di Asia Barat yang meruncing sejak 28 Februari lalu menyumbang kepada kebimbangan semasa termasuk berlakunya lonjakan harga bahan api.
Pengaturan kerja fleksibel termasuk BDR dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi ketidaktentuan global khususnya dalam aspek penjimatan utiliti.
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad pada Sabtu memaklumkan KPM akan mengadakan perbincangan khusus minggu ini bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan BDR, termasuk kaedah PdPR dalam kalangan pelajar sekolah serta penjawat awam kementerian itu sekiranya dasar tersebut diputuskan untuk dilaksanakan.




Comments