KPM hentikan program penceramah bebas susulan dakwaan kelakuan tidak wajar


Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua program melibatkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah dihentikan serta-merta susulan beberapa dakwaan berkaitan kelakuan tidak wajar terhadap pelajar yang tular di media sosial.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata dakwaan berkenaan dipandang serius kerana membabitkan aspek keselamatan dan perlindungan murid.
"Saya mengambil maklum beberapa dakwaan yang sedang tular di media sosial melibatkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.
"Dakwaan yang dibangkitkan adalah serius kerana melibatkan keselamatan dan perlindungan murid. Saya telah meminta Kementerian Pendidikan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini," katanya dalam kenyataan.
Fadhlina berkata semua program yang melibatkan penceramah bebas berkenaan diarahkan dihentikan serta-merta bagi memberi ruang kepada siasatan penuh dilaksanakan.
Beliau pada masa sama menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan dakwaan berkenaan supaya tampil membuat laporan kepada pihak polis.
"Laporan kepada pihak berkuasa sangat penting bagi memastikan anak-anak mendapat perlindungan dan sokongan yang sewajarnya," katanya.
Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas pempengaruh media sosial, Caprice berkongsi di media sosial rakaman perbualannya dengan individu yang mendakwa mempunyai maklumat mengenai seorang motivator yang pernah terlibat dalam program sekolah.
Caprice turut menyeru pihak berkaitan mengambil tindakan terhadap dakwaan berkenaan, selain memaklumkan bahawa pihaknya sedang membantu mengumpulkan maklumat daripada individu yang mendakwa pernah menjadi mangsa.
Dalam perkembangan sama, guru dan aktivis pendidikan, Mohd Fadli Salleh turut dilaporkan memberi perhatian terhadap pendedahan berkaitan dakwaan kelakuan tidak wajar terhadap murid yang dikaitkan dengan penceramah berkenaan.
Antara dakwaan yang tersebar di media sosial termasuk cerita daripada dua individu yang mendakwa mereka hampir menjadi mangsa ketika berurusan dengan motivator berkenaan.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut setakat ini masih merupakan pendedahan individu di media sosial dan belum dapat dianggap sebagai kesalahan yang telah dibuktikan..
Fadhlina menegaskan keselamatan murid perlu diberi keutamaan dan tidak boleh dikompromi.
"Keselamatan murid mesti dipandang serius dan diteliti. Keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita tidak boleh dikompromi," tegas beliau.




Comments