KPDN bakal gubal peraturan khusus bendung aktiviti 'ulat tiket'


Kajian akan dilaksana bagi merangka perundangan khusus untuk membendung aktiviti ‘ulat tiket’ sekaligus melindungi pengguna dari risiko penipuan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, langkah tersebut juga bagi menangani kegiatan penjualan tiket pada harga jauh lebih tinggi dari harga asal yang membebankan.
"Ketika ini, tiada peruntukan khusus undang-undang berkaitan isu ulat tiket ini. Namun, KPDN giat menjalankan libat urus dengan penganjur program serta melaksana kajian dengan tujuan mewujudkan satu kerangka undang-undang.
"Di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], terdapat punca kuasa yang boleh dipertimbangkan bagi membolehkan Menteri dan kementerian mewujudkan mekanisme berbentuk peraturan untuk membendung aktiviti ulat tiket secara lebih berkesan," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Selasa.
Mengulas lanjut Dr Fuziah menjelasakan, kajian akan merangkumi penelitian terhadap Seksyen 15(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk mengenal pasti ruang perundangan yang boleh dimanfaatkan untuk kerangka kawal selia.
Selain itu, pihaknya akan turut memperhalusi cabaran penguatkuasaan supaya peraturan yang bakal diwujudkan kelak dapat dilaksana secara berkesan.
"KPDN juga akan terus mempergiat advokasi pengguna dan mengadakan libat urus dengan penganjur acara bagi menggalakkan amalan penjualan tiket yang lebih telus, termasuk penyampaian maklumat terma dan syarat pembelian yang jelas kepada pengguna," katanya.
Menurut Dr Fuziah, kajian tersebut dijangka dimuktamadkan untuk dibawa ke peringkat pelaksanaan pada tahun hadapan.




Comments