Komitmen PM Anwar bantu rakyat rentasi fahaman politik, sempadan negeri
- Helmi Mohd Foad
- 3 hours ago
- 2 min read

Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai komitmennya untuk menggunakan seluruh sisa usia bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Malaysia disifatkan sebagai manifestasi tanggungjawab kepimpinan yang tinggi.
Ahli Dewan Negeri Selangor, David Cheong berkata tekad Perdana Menteri untuk memperkukuh tatakelola merupakan kunci utama dalam memastikan wang rakyat diurus secara berhemah dan dimanfaatkan sebaiknya.
"Di tengah-tengah keluh-kesah rakyat mengenai kos sara hidup, tindakan tegas kerajaan dalam menguruskan ekonomi secara berintegriti adalah asas untuk memulihkan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
David berkata, tindakan spontan Perdana Menteri meluluskan peruntukan hampir RM500,000 bagi membaiki blok bangunan Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Ulum Al-Muhammadiyah di Bachok, Kelantan yang terlibat dalam kebakaran amat menyentuh hati.

Katanya, langkah itu membuktikan Kerajaan MADANI meletakkan kebajikan rakyat mengatasi segala-galanya tanpa mengira fahaman politik mahupun lokasi geografi.
"Dalam konteks perpaduan, tindakan ini menghantar mesej yang sangat kuat.
"Ini membuktikan bahawa prinsip kemanusiaan dan kebajikan rakyat sentiasa mengatasi kepentingan politik, di mana kerajaan Pusat tetap memberikan sokongan segera tanpa mengira fahaman parti mahupun lokasi musibah," ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADILAN berkata, penekanan terhadap pendidikan menunjukkan setiap institusi pendidikan sama ada sekolah agama atau kebangsaan dianggap sebagai aset negara yang perlu dipelihara demi masa depan generasi muda.
Jelasnya, sikap ditunjukkan Perdana Menteri itu mencerminkan wajah sebenar Malaysia yang inklusif, apabila tembok perbezaan dirobohkan melalui semangat saling membantu.
Katanya, ia turut menterjemahkan nilai perpaduan yang utuh antara pemimpin dan rakyat dalam mendepani saat-saat sukar.
"Saya mendoakan agar urusan pembaikan sekolah tersebut dipermudahkan supaya pelajar-pelajar dapat kembali belajar dalam suasana yang selamat dan kondusif.
"Semoga semangat keprihatinan dan tata kelola yang baik ini terus menjadi tunjang dalam usaha kita membina Malaysia yang lebih gemilang dan bersatu padu," katanya.
