Kolam asuhan anak ikan patin Kampung Ubai berpotensi jana RM20 ribu sebulan
- Redzuan Shamsudin

- 1 day ago
- 2 min read

Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi baru baru ini merasmikan Projek Kolam Asuhan Anak Ikan Patin untuk Komuniti Nelayan Darat Kampung Ubai yang berlangsung di DUN Inderapura, Parlimen Kuantan.
Projek berimpak tinggi tersebut mendapat geran dana Komuniti Sejati Madani, Jabatan Perdana Menteri. Ia bertujuan memperkasa ekonomi komuniti nelayan darat melalui akuakultur moden dan mampan di bawah payung Kerajaan Madani.
Projek ini diketuai oleh Ketua Komuniti, Hussaini Ramli dari Kampung Ubai Baru, Kuantan. Beliau menzahirkan penghargaan kepada Fakhrul Anuar kerana memperkenalkan inisiatif ini kepada penduduk.
"Terima kasih Tuan Fakhrul Anuar sebab bawa projek Asuhan Anak Ikan Patin ni ke Kampung Ubai. Kami nelayan darat dapat peluang, ilmu dan modal untuk jana pendapatan sendiri. Harap projek ni berjaya dan bagi pulangan konsisten untuk semua peserta," katanya menghargai bantuan sumbangan Kerajaan Persekutuan tersebut.
Sementara itu dalam ucapan perasmian majlis, Fakhrul Anuar menegaskan projek berkenaan adalah contoh ekonomi komuniti MADANI yang sebenar berlandaskan prinsip Ihsan, Mampan dan Inovasi.

"Sejati Madani bukan sekadar bagi geran, tapi bina kapasiti rakyat. Nelayan darat Kampung Ubai sekarang jadi pengusaha benih ikan. 60,000 ekor sebulan, RM20,000 pulangan. Ini rezeki berpanjangan yang kita bina bersama. Kerajaan Madani percaya pada kekuatan komuniti," katanya.
Beliau turut memuji kerjasama JPKK, Wanita KEADILAN dan juru perunding teknikal yang memastikan projek berjalan mengikut prosedur biosekuriti dan kualiti air.
"Dari benih 1 inci ke 5 inci dalam 30 hari, ini kerja berpasukan. Saya yakin Kampung Ubai boleh jadi hab asuhan benih patin utama di Pahang. Majlis Bandaraya Kuantan dan Cabang KEADILAN Kuantan akan terus sokong (projek ini)," tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Wanita KEADILAN Kuantan, Sridayu Samsuri pula melihat projek ini sebagai peluang memperkasa wanita komuniti.
"Ibu-ibu Kampung Ubai boleh terlibat dalam pemantauan, rekod dan pemasaran. TEJA Station sedia bantu dari segi branding dan jualan digital," katanya.
Model perniagaan projek yang diguna pakai Komuniti Nelayan Darat Kampung Ubai bermula dari asuhan benih ikan patin bersaiz 1 inci yang diasuh dan dibesarkan selama 30 hari sehingga mencapai saiz 4-5 inci; Setiap pusingan melibatkan 60,000 ekor benih patin.
Manakala pasaran, benih siap asuh dijual terus kepada pengusaha ternakan ikan patin sangkar di seluruh Negeri Pahang dan dijangka meraih RM20,000 sebulan untuk satu musim pusingan asuhan. Pulangan ini diagihkan kepada peserta komuniti.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi JPKK Kampung Ubai, Alias Ibrahim; Ketua Wanita KEADILAN Kuantan, Sridayu Samsuri dan Juru perunding Teknikal, Mohd Shukri Shafie yang memberi bimbingan teknikal sepanjang projek.




Comments