Ketua Penerangan Umno Rembau dilapor polis, sentuh isu 3R


Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Manivanan Gowin berkata, wakil calonnya telah membuat laporan polis berhubung kenyataan yang didakwa dikeluarkan Ketua Penerangan Umno Rembau dalam satu ceramah politik kerana disifatkan menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Manivanan berkata, tindakan itu diambil selepas individu berkenaan didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan pentadbiran negeri dan institusi diraja 'dipegang' oleh sebuah parti politik kerajaan.
"Wakil calon saya Mohd Roslan Putih membuat satu laporan polis berkaitan individu yang merupakan Ketua Penerangan Umno Rembau.
"Saya difahamkan daripada wakil calon saya, dalam satu ceramah beliau telah menyatakan perkataan seperti 'sampai istana, sampai negeri, sampai kuasa negeri, Menteri Besar kita habis dipegang oleh DAP'. Itu adalah suatu komen yang amat menyentuh isu kaum, raja dan agama (3R)," katanya.
Beliau berkata, isu sensitif seperti itu tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen kerana boleh menjejaskan keharmonian dan mencetuskan ketegangan di luar persaingan politik sewajarnya.
"Saya rasa itu sesuatu yang perlu diketepikan dalam pilihanraya ini. Apabila ada pihak yang menyebut perkara begini menyentuh 3R, ia mencetuskan kontroversi di luar kancah politik yang sihat," ujarnya.
Manivanan mendakwa kenyataan tersebut turut mengelirukan masyarakat mengenai struktur pentadbiran dan institusi di Negeri Sembilan.
"Saya mendapati perkataan tersebut mengelirukan. Pertama ia mengelirukan kuasa negeri di bawah pentadbiran seorang Menteri Besar yang seharusnya Melayu Islam di bawah Undang undang Tubuh Negeri Sembilan
"Kedua, ia juga mengaitkan kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Ketiga, ia mengaitkan kuasa undang-undang dan juga Ibu Soko di Negeri Sembilan," ujarnya.
Beliau berkata, semua pihak yang berpolitik di Negeri Sembilan wajar memahami keunikan sistem Adat Perpatih dan menghormati institusi yang menjadi tunjang negeri itu.
"Negeri Sembilan kita kena faham, negeri ini salah satu negeri yang mempunyai adat sangat berbeza, Adat Perpatih dan mereka mempunyai undang-undang yang agak berbeza.
"Sesiapa yang berpolitik di sini seharusnya menghormati institusi istana, Kerajaan Negeri dan sebagainya. Tidak seharusnya memainkan isu 3R, mengaitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," kata beliau lagi.
Manivanan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat bagi memastikan kempen pilihanraya berjalan secara harmoni serta mematuhi undang-undang.




Comments