top of page

Ketua Dewan Ulama Pas Melaka minta maaf fitnah Fadhlina

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 21
  • 1 min read
Fadhlina (tengah) di luar Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur ditemani peguamnya
Fadhlina (tengah) di luar Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur ditemani peguamnya

Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Melaka Zulkifli Ismail dan akhbar Harakah milik parti Pas mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.


Permohonan maaf itu susulan kenyataan fitnah yang dikeluarkan pada tahun 2023 berkaitan isu larangan takbir dan bacaan Qunut Nazilah sempena Minggu Solidariti Palestin di sekolah.


Zulkifli menerusi kenyataan penghakiman di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada Isnin mengakui bahawa kenyataanya telah mengundang pelbagai tafsiran dan salah faham dalam kalangan masyarakat sekaligus menjejaskan nama baik Fadhlina.


Ahli Parlimen Jasin itu turut mengakui pihak sekolah dibenarkan untuk membuat laungan takbir dan membaca Qunut Nazilah di sekolah sepanjang program tersebut.


Susulan keputusan semalam, Hakim Hilmiah Yusof memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar kos berjumlah RM15,000 kepada Fadhlina.


Terdahulu, Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILAN memfailkan saman fitnah terhadap Zulkifli, bekas ketua pengarang Harakah, Mazlan Jusoh dan penerbit akhbar Harakah, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fadhlina antara lain mendakwa defendan-defendan telah membuat tuduhan yang mendakwa beliau melarang takbir dan Qunut Nazilah dan meletakkan beliau sebagai seorang yang munafik.


Tambahnya, kenyataan fitnah itu dibuat dan diterbitkan oleh defendan-defendan dengan niat jahat untuk menjatuhkan reputasi dan nama baik beliau sebagai Menteri Pendidikan.


Ditemui pemberita selepas prosiding, Fadhlina menzahirkan rasa syukur dan lega namanya dibersihkan daripada kenyataan fitnah itu.


"Sebenarnya hari ini saya sudah bersedia untuk meneruskan perbicaraan, tetapi apabila ada ruang untuk kita mencari penyelesaian dan paling penting adalah untuk membersihkan nama saya...yang saya nak dengar adalah perkataan maaf dan saya dapat perkataan maaf itu, Alhamdulillah," katanya dipetik.


Fadhlina turut memaklumkan, RM15,000 yang diterimanya bakal digunakan sepenuhnya untuk kempen Solidariti Palestin di Parlimen Jasin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page