Kesiapsiagaan PRN diperkukuh menerusi latihan TERAS, PACA - Nurul Izzah
- Redzuan Shamsudin

- Jun 14
- 2 min read

KEADILAN terus memperkukuh kesiapsiagaan organisasi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) menerusi pelaksanaan latihan Training of Trainers (ToT) TERAS di Negeri Sembilan, semalam.
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar yang bertanggungjawab membangunkan sistem pengurusan pilihanraya TERAS berkata, latihan yang dijalankan tersebut bukan sekadar memperkenalkan sistem tetapi juga memberi penekanan kepada kefahaman menyeluruh dalam kalangan jentera parti di peringkat cabang dan akar umbi.
"Fokus latihan kali ini bukan hanya untuk memperkenalkan sistem, tetapi memastikan setiap pasukan di peringkat cabang dan akar umbi benar-benar memahami bagaimana data, operasi lapangan dan gerak kerja pilihan raya dapat diselaraskan melalui satu ekosistem yang lebih tersusun," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut beliau, sebelum ini siri latihan TERAS telah dilaksanakan di Johor bagi Zon Selatan dan kini diperluaskan ke Negeri Sembilan, sebelum diteruskan ke Melaka sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh memperkukuh jentera parti menjelang PRN negeri itu yang dijangka hujung tahun ini.
Tambahnya, pengalaman pilihanraya lalu menunjukkan bahawa kemenangan tidak hanya bergantung kepada populariti, sebaliknya memerlukan disiplin organisasi, pengurusan data yang cekap serta latihan berterusan.

"Pengalaman pilihanraya yang lalu menunjukkan bahawa kemenangan memerlukan disiplin organisasi, pengurusan data yang baik, latihan yang berterusan dan kemampuan menterjemahkan maklumat kepada tindakan di lapangan," jelasnya.
Mengulas langkah seterusnya, Nurul Izzah memaklumkan bahawa fokus akan beralih kepada Latihan Petugas Pengiraan Undi (PACA) yang akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula di Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau menyifatkan PACA sebagai elemen penting dalam memastikan integriti proses pilihan raya terus terpelihara.
"PACA merupakan benteng terakhir integriti proses pilihan raya, dan kekuatan sesebuah organisasi sering kali diukur melalui tahap kesiapsiagaan pasukan PACA mereka," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua cabang, petugas, jentera dan sukarelawan KEADILAN agar bersedia secara lebih tersusun dengan mengikuti latihan yang disediakan serta memperkukuh penguasaan sistem dan gerak kerja lapangan.
"Kepada semua cabang, petugas, jentera dan sukarelawan KEADILAN, inilah masanya untuk bersedia dengan lebih tersusun. Ikuti latihan, kuasai sistem, turun ke lapangan, dan pastikan setiap undi rakyat dapat dipertahan dengan sebaiknya," katanya.




Comments