Kerajaan tidak kompromi penerbitan drama, filem sentuh sensitiviti agama, kaum
- Akmal Manaf

- 59 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak penerbitan drama dan filem yang menyentuh isu sensitiviti agama dan kaum dalam karya mereka.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kebebasan berkarya perlu disertai dan diimbangi dengan tanggungjawab menghormati nilai-nilai agama, keharmonian masyarakat, sensitiviti kaum dan budaya yang menjadi teras serta tunjang kepada perpaduan negara.
"Kerajaan juga tidak teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya hasil penilaian dan siasatan mendapati terdapat pelanggaran terhadap mana-mana garis panduan, peraturan atau ketetapan yang berkuatkuasa.
"Selepas pertemuan dan mesyuarat yang diadakan, pihak FINAS mewakili pihak-pihak yang terbabit akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung hasil perbincangan dan tindakan susulan yang akan diambil," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihaknya telah mengarahkan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) yang berada di bawah jagaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama dengan FINAS untuk mengadakan pertemuan dengan pihak produksi dan juga pihak iQIYI Global/International (IGE) pada petang ini untuk mendapatkan penjelasan menyeluruh berhubung kandungan drama yang dimaksudkan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, pihak JAKIM juga akan turut mengambil bahagian dalam pertemuan berkenaan.




Comments