top of page

Kerajaan sasar Indeks Pendayaupayaan Pengguna, 70 peratus

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan MADANI mensasarkan pencapaian penanda aras tahap pengetahuan dan kebijaksanaan pengguna dapat ditingkatkan kepada 70 peratus.


Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan dalam Negeri (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, Indeks Pendayaupayaan Pengguna atau Consumer Empowerment Index (CEI) itu kini berada pada tahap 63 peratus.


Dr Fuziah yakin ia mampu ditingkatkan menerusi pelbagai program kesedaran yang digerakkan bersama gerakan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.


"Kita mahu mereka menjadi pengguna bijak, memahami bahawa mereka boleh buat pilihan...pengguna boleh buat pilihan bukan hanya mengharapkan kerajaan buat segalanya tetapi terlibat sama dalam mengatasi cabaran geopolitik," katanya dipetik.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Kuala Lumpur pada Isnin.


Sementara itu Dr Fuziah menggesa supaya gerakan pengguna memainkan peranan lebih aktif bagi memperkasa masyarakat, menjadi pengguna bijak, berdaya saing serta memahami hak dan tanggungjawab mereka.


Beliau turut menyeru pengguna memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan salah laku, khususnya melibatkan isu harga barang terutama ketika berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik semasa yang mencabar.


Menyentuh mengenai program advokasi tersebut, Dr Fuziah menjelaskan ia bagi memperkasa pengguna agar lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.


Beliau berkata Dasar Pengguna Negara 2.0 mempunyai lima teras, antaranya menumpukan kepada usaha memperkasa pengguna supaya lebih memahami realiti ekonomi semasa dan mampu mengambil langkah proaktif mengurus perbelanjaan terutama ketika kenaikan kos barangan susulan krisis bekalan global.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page