Kerajaan Negeri Kedah yang kini diterajui Perikatan Nasional (PN) dianggap sengaja mencipta dalih mengenai tuntutan RM1 bilion sebagai cubaan untuk menghalalkan konsesi balak di negeri itu, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Bekas Menteri Besar Kedah itu menegaskan, semua kes-kes tertunggak melibatkan Hutan Simpan Ulu Muda dan Hutan Simpan Bukit Saiong telah diselesaikan melalui mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Hasil Bumi di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Tidak ada mana-mana pihak, baik secara berasingan mahupun secara bersama, yang telah menuntut pampasan dari kerajaan Kedah sehingga mencecah RM1 bilion. Ini satu pembohongan yang mungkin bertujuan untuk menghalalkan keputusan untuk meluluskan konsesi.
"Apa yang diumumkan oleh Kerajaan Pas sekarang bukannya penyelesaian yang mereka capai sejak sepuluh hari menjadi kerajaan. Tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini telah dipikul dan diselesaikan dengan baik oleh kerajaan PH sebelum ini," katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.
Mukhriz turut menyifatkan kerajaan PN Kedah sengaja memburuk-burukkan kerajaan PH dengan memberi gambaran seolah-olah banyak salah laku dalam pentadbiran sebelum ini.
"Tidak ada apa-apa masalah yang terpaksa diselesaikan oleh Menteri Besar yang baru sepuluh hari itu. Maka tidak perlulah mendabik dada seolah-olah ada masalah besar yang telah ditinggalkan oleh PH yang perlu diselesaikan segera oleh Pas dan sekutunya.
"Kerajaan Pas Kedah cuma perlu melaksanakan sahaja kesemua keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan PH sebelum ini. Maka selamatlah Kedah dari apa-apa ancaman kes mahkamah atau tuntutan pampasan.
"Jangan kelirukan rakyat dengan dakwaan yang bukan-bukan. Rakyat memerhati setiap gerak langkah Menteri Besar dan Exco. Lebih dari itu, Allah sentiasa mengetahui apa yang terniat di dalam hati anda semua. Silap langkah, terima padahnya," katanya lagi.
Commentaires