Kerajaan perlu lebih agresif banteras akaun media sosial palsu - Exco
- Suara Keadilan

- 44 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Persekutuan di gesa lebih agresif menangani penyalahgunaan media sosial termasuk akaun palsu dan pengaruh anasir luar yang boleh mengancam keharmonian serta keselamatan negara.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah (gambar) mengakui teknologi internet membawa banyak manfaat, namun penyalahgunaan platform media sosial dapat memberi kesan buruk terutama kepada golongan muda.
"Sisi internet yang terlalu terbuka khususnya media sosial, banyak berlaku penyalahgunaan termasuk serangan daripada akaun yang tidak benar
"Penyalahgunaan media sosial boleh memberi tekanan kepada masyarakat dan dalam keadaan tertentu membawa kepada kesan lebih serius, termasuk buli siber dalam kalangan golongan muda," katanya dipetik laporan media.
Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Daerah Petaling Jaya anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada Ahad.
Karnival yang turut disertai agensi kerajaan negeri itu dianjurkan meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk golongan muda dan warga emas mengenai penggunaan internet secara selamat.
Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia sementara itu berpandangan MCMC perlu terus memperkemas mekanisme pemantauan dan mengambil tindakan lebih pantas terhadap kandungan serta akaun yang berisiko.
Langkah itu penting bagi memastikan ruang siber tidak disalahgunakan untuk mencetuskan perpecahan dalam masyarakat majmuk.




Comments