Kerajaan MADANI perkasakan Ekonomi Biru di Sabah
- Suara Keadilan

- Aug 17
- 1 min read

Kerajaan MADANI komited untuk terus memperkasa sektor Ekonomi Biru terutamanya di Sabah sebagai bidang strategik baharu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (gambar) berkata, potensi besar Sabah dalam sektor berkenaan perlu dimanfaatkan secara strategik menerusi kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri.
"Sabah mempunyai potensi besar untuk menerajui sektor marin dan akuakultur dalam Ekonomi Biru.
"Kerajaan Persekutuan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah dan pemain industri bagi memastikan sektor itu dapat diteroka sebaiknya menerusi Belanjawan 2027," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 dengan pemain industri di Tawau pada Ahad.
Amir Hamzah sementara itu berkata, Sabah mempunyai kekayaan sumber semula jadi yang besar termasuk kawasan laut dan sungai, sekali gus menyediakan ruang luas untuk pembangunan sektor ekonomi biru.
Sektor itu bukan sahaja merangkumi pelancongan berasaskan laut seperti aktiviti menyelam dan ekopelancongan, malah turut meliputi akuakultur, perikanan serta aktiviti hiliran seperti pemprosesan rumpai laut.
"Langkah memperkasakan rantaian bekalan dan pemprosesan hiliran itu dijangka mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan pendapatan komuniti setempat," tambahnya.
Dalam sidang media sama beliau juga memaklumkan, Persekutuan juga akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi menyelaraskan cadangan di bawah pelan Sabah Maju Jaya untuk diserapkan ke dalam perancangan Belanjawan 2027 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).




Comments