top of page

Kerajaan jamin kebajikan keluarga aktivis GSF diculik Israel - Dr Zulkifli

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 2
  • 1 min read
Dr Zulkifli (kanan) diperlihatkan foto 10 sukarelawan Malaysia yang diculik tentera Israel
Dr Zulkifli (kanan) diperlihatkan foto 10 sukarelawan Malaysia yang diculik tentera Israel

Kerajaan MADANI menyeru masjid dan surau seluruh negara melaksana solat hajat bagi mendoakan keselamatan kesemua peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya memandang serius perkembangan misi serta keadaan peserta dan akan terus memantau dari semasa ke semasa.


"Kita menyatakan sokongan penuh terhadap misi GSF dan telah mengerahkan masjid serta surau untuk mendoakan keselamatan semua peserta termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini masih belum diketahui keberadaan mereka.


"Kita akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan termasuk Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dan rakan strategik lain dalam meneruskan solidariti kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza," katanya dipetik pada sidang media di Bangi petang semalam.


Beliau diberi taklimat oleh Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengenai status keselamatan peserta GSF serta perkembangan misi kemanusiaan tersebut.


Sebanyak 22 daripada keseluruhan 63 kapal dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete, Greece.


SNCC malam tadi mengesahkan 10 rakyat Malaysia diculik tentera Israel itu sudah dilepaskan di Pelabuhan Lerapetra di Kepulauan Crete, Greece.


Dr Zulkifli sementara itu memaklumkan, pihaknya turut memberi perhatian terhadap kebajikan keluarga peserta yang terlibat dan bersedia menyalurkan bantuan sewajarnya.


"Kita sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada SNCC dan akan melihat keperluan yang boleh dibantu kepada semua aktivis ini.


"Daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita mempunyai beberapa agensi yang bersedia untuk memberikan sokongan, dan kita akan menilai bentuk bantuan yang diperlukan dari semasa ke semasa," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page