Kerajaan aktifkan langkah keselamatan di pintu masuk negara
- Azuan Ab Rahman

- 1 day ago
- 1 min read

Tahap keselamatan di semua pintu masuk negara kekal terkawal dengan langkah keselamatan tambahan diaktifkan serta-merta bagi memastikan keselamatan anggota dan orang awam terus terjamin.
Komitmen itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar), susulan insiden tembakan yang menyasarkan seorang pegawai kanan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di pintu masuk negara semalam.
"Kerajaan memandang serius insiden tembakan yang melibatkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di pintu masuk negara.
"Saya bersyukur pegawai berkenaan selamat dan kejadian itu kini disiasat secara menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam kejadian kira-kira 5.40 pagi Selasa, dua das tembakan dilapor telah disasarkan kepada kenderaan Proton X70 yang dinaiki Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.
Tembakan pertama daripada dua individu tidak dikenali itu mengenai pintu belakang kenderaan manakala tembakan kedua melintasi muka mangsa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada senjata api dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang walaupun tiada kecederaan berlaku.
Sementara itu, Saifuddin menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan negara .
Beliau turut memberi komitmen bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.




Comments