Keputusan DAP kekal dalam kerajaan kuatkan PM laksana reformasi institusi
- Akmal Manaf

- 5 hours ago
- 1 min read

Keputusan 1,857 perwakilan DAP yang memilih agar parti itu kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semalam dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2026 mengukuhkan lagi sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Senator Sheikh Umar Baghaib Ali menyifatkan keputusan itu membawa makna lebih besar daripada sekadar pilihan untuk DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan.
"Pertama penegasan semula mandat ahli kepada kepimpinan DAP. Sejak tiga pilihan raya negeri, wujudnya desakan supaya DAP menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan MADANI.
"Angka 1,857 itu memberikan mandat yang sangat jelas (iaitu) jangan keluar, teruskan perjuangan dari dalam kerajaan.
"Kedua, (angka) 1,857 tidak bermakna ahli memberikan 'cek kosong' kepada pemimpin DAP dalam Kerajaan. Sepanjang perbahasan, persoalan prestasi dan kemampuan DAP untuk berperanan merealisasikan reformasi menjadi topik penting.
"Jadi, kedudukan DAP selepas ini lebih tepat difahami sebagai kekal dalam kerajaan tetapi melipat ganda usaha demi perubahan dasar," katanya dalam kenyataan hari ini mengulas keputusan DAP kekal dalam kerajaan.
Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, keputusan berkenaan mengukuhkan lagi kestabilan Kerajaan Persekutuan kerana parti itu mempunyai 40 kerusi Parlimen.
Ujarnya, keputusan ketika Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam itu turut mencerminkan pengukuhan struktur sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengurangkan ketidaktentuan mengenai kemungkinan perubahan politik sebelum PRU yang dijangka selewat lewatnya hujung 2027.
"Jadi, 1,857 (undi) bukan sekadar angka kemenangan satu usul semata-mata, tetapi mandat besar perwakilan supaya DAP terus berada dalam Kerajaan Persekutuan, menggunakan amanah kuasa yang ada untuk melaksanakan reformasi serta kekal mempertahankan prinsip parti, kepentingan rakyat dan Malaysia," katanya lagi.




Comments