
Belum habis isu kawalan harga barang, kerajaan sekali lagi dikecam apabila membuat keputusan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan kesan COVID-19 dalam sidang Parlimen yang hanya akan bermula pada Julai depan.
Menerusi kenyataan rasmi daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, kerajaan hanya membuat keputusan tersebut menerusi mesyuarat yang diadakan pada 29 April dan 20 Mei, sedangkan mereka sudah pun mentadbir negara sejak bulan Mac.
Malah, semua Kementerian hanya akan membentangkan akta-akta yang perlu dipinda dalam satu lagi mesyuarat khas pada 28 Mei, iaitu seminggu selepas hari raya Aidilfitri.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyifatkan kerajaan mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan, sedangkan rakyat memerlukan bantuan kewangan dengan segera bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Beliau turut kecewa dengan keputusan kerajaan yang tidak menggunakan sidang Parlimen 18 Mei sebagai waktu yang paling sesuai untuk membentangkan RUU COVID-19, seolah-olah tidak serius untuk menangani masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.
"Sekali lagi Kerajaan PN lemah dan lambat bertindak. Sepatutnya perbincangan diusahakan sejak PKP mula dikuatkuasa.
"Sepatutnya RUU ini dibentang, dibahas dan diluluskan pada sidang bermula 18 Mei. Ini tak. Pada ketika hotel dan syarikat mula tutup dan buang pekerja, baru nak bincang," katanya menerusi akaun Twitter rasminya.
Nampaknya, rakyat terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.