Kempen #DemiMalaysiA tular di media sosial yang dilihat sebagai satu usaha untuk menyatukan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam misi menyelamatkan Malaysia.
Pengguna media sosial menggunakan #DemiMalaysiA dengan huruf besar M mewakili Mahathir manakala huruf besar A mewakili Anwar dalam satu perkataan supaya kedua-dua pemimpin itu membelakangkan perbezaan pendapat dan membuat keputusan segera mengenai kedudukan Perdana Menteri.
Ini setelah kesemua parti KEADILAN, DAP, Amanah, Warisan serta beberapa pemimpin Bersatu yang kini dikenali dengan Pakatan Plus membuat pertemuan sejak tiga minggu lepas bagi mencapai persetujuan.
Pengguna Twitter, Asrul Muzaffar berkata, dia hanya mahukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
"Sebagai rakyat, saya tidak kisah sama ada Tun Mahathir atau Anwar yang menjadi Perdana Menteri Ke-9.
"Mereka berdua amat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia daripada kerajaan Perikatan Nasional," katanya.
Seorang lagi pengguna Twitter, Krish Kumar berkata soal kebajikan rakyat lagi penting daripada perebutan kuasa.
"Sekarang ini tiada siapa peduli siapa Perdana Menteri. Apa yang penting Mahathir dan Anwar ada rancangan untuk selamatkan Malaysia daripada pemimpin korup. Kesemua kerosakan ketika ini tidak boleh diterima lagi," katanya.
Senator Liew Chin Tong turut serta dalam kempen tersebut dan mengharapkan Mahathir dan Anwar dapat menghentikan salah laku kerajaan PN.
"Dengan penyatuan PH Plus, gabungan kleptokratik Najib dan Muhyiddin tidak akan mempunyai ruang untuk ke mana-mana dan akan hancur kerana perbezaan pendapat dalam pakatan itu. #DemiMalaysiA," katanya.
Comments