Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah yang suram tanpa cadangan polisi atau pembangunan baharu ketika ini membuktikan Kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai agenda masa hadapan dalam membangunkan Kedah.
Berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah hampir dua tahun dan telah berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM14.7 billion pada 2019 serta mempunyai polisi pembangunan jangka panjang sebelum ini.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah, Datuk Johari Abdul, faktor Menteri Besar PN, Muhammad Sanusi Md Nor yang kurang berpengalaman mungkin akan membantutkan pembangunan negeri itu pada tahun-tahun akan datang.
"Saya melihat MB personaliti baik cuma dia tidak cukup pengalaman dari segi pentadbiran. Dia keluar universiti tidak pernah menjadi pegawai kerajaan. Pengalaman yang dia ada hanya menjadi setiausaha politik kepada MB (Azizan Razak).
"Yang kedua, dia ambil kerajaan di tengah jalan. Bila ambil tengah jalan agak sukar bentuk pemikiran. Sebab di Kedah yang paling penting ada tiga komponen. Pertama komponen Tuanku Sultan, kedua, kakitangan awam negeri dan ketiganya tentulah exco-exco dalam kerajaan.
"Pertama, tuanku Sultan amat terbuka. Tuanku tidak campur hal politik. Tuanku berpegang kepada undang-undang tubuh negeri dan Perlembagaan negara. Isu kedua, kakitangan awam kedah yang kalau dihimpunkan pengalaman mereka saya kira antara yang terbaik dalam Malaysia.
"Oleh yang demikian, kalau mereka mendapat MB yang baik, ini jadi satu kelebihan. Sebab pengalaman mereka dari segi pembangunan, tanah dan sebagainya mantap. Cuma bagaimana MB sebagai pemandu?" katanya kepada Suara Keadilan.
Johari juga beranggapan MB PN berkemungkinan tidak mampu mengawal exco negeri sebagaimana MB dari PH yang lalu. Katanya, faktor tersebut pasti akan mengurangkan keberkesanan pentadbiran PN pada jangka masa panjang.
"Faktor ketiga ialah exco. Inilah masalah besar. Sebab exco yang ada selain Pas, mereka juga ada bekas Bersatu dan bekas KEADILAN. Sudah tentu MB ada masalah untuk mengemudikan. Sebab dulu, dia bermusuh dengan Bersatu dan KEADILAN. Tiba-tiba mereka ini berada dalam kumpulan dia.
"Sudah tentu elemen tidak mendengar arahan, lambat bertindak atas arahan akan wujud. Tindakan akan jadi lembab. Nak sesuaikan diri dengan kedaan ini bukan mudah. MB pula ada 2 tahun sahaja untuk memerintah," katanya lagi.
Bagaimanapun, menurut Johari, sebagai pembangkang yang baik, PH tidak akan melakukan serangan membuta tuli sebagaimana dilakukan Umno dan Pas suatu ketika dahulu.
Demi rakyat Kedah, katanya, pembangkang akan sentiasa memberi pandangan kepada Kerajaan Negeri, terutama dalam situasi pandemik Covid 19 yang belum berakhir.
"Kita harap MB sekarang boleh duduk berbincang. Mana yang elok untuk negeri kita, kita beri pandangan. Kami tak akan menyerang. Dalam keadaan Covid sekarang rakyat cukup menderita. Kita pula nak campur dengan pergolakan politik, jadi tidak adil kepada rakyat.
"Kami berpandangan terbuka. Yang elok kita sokong yang tempang kita betulkan. Cuma pada Sanusi saya ucapkan goog luck to him. Bukan mudah," katanya penuh makna.
Untuk rekod, Kedah telah disediakan dengan pembangunan yang mantap hampir dua tahun PH memerintah. Sekiranya pemerintahan dilanjutkan maka lebih banyak skim bantuan kepada rakyat akan disediakan apabila ekonomi negeri meledak dan memberi peningkatan hasil cukai yang memberansangkan berlaku.
Comentarios