top of page

Kebebasan berkarya mesti berserta adab, tanggungjawab – Zulkifli

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
4 hours ago
1 min read

Kebebasan berkarya perlu disertai adab, tanggungjawab moral dan pematuhan kepada undang-undang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) menegur sebuah pementasan teater yang mempersenda Rukun Negara tular di internet seja semalam.


Beliau berkata, Rukun Negara merupakan ikrar negara dan asas perpaduan yang perlu dihormati semua pihak, bukan dijadikan bahan sindiran atas nama kebebasan seni.


"Merujuk kepada satu video persembahan yang tular, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa Rukun Negara adalah ikrar keramat dan tiang seri perpaduan yang wajar dihormati, bukannya bahan sindiran atas nama seni.


"Keterlanjuran ini adalah satu pelanggaran adab dan kemungkaran sosial yang merosakkan ikatan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pementasan teater kontroversi
Pementasan teater kontroversi

Menurut Zulkifli, kebebasan seni tidak seharusnya dipisahkan daripada tanggungjawab moral dan batasan undang-undang.


Beliau berkata, pihak penganjur sewajarnya tampil mengambil tanggungjawab di atas persembahan itu, manakala pihak berkuasa dan agensi berkaitan perlu menjalankan siasatan menyeluruh sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang.


"Seni mesti berteraskan tanggungjawab moral dan batasan undang-undang.


"Pihak penganjur wajar memohon maaf secara terbuka, manakala pihak berkuasa dan agensi berkaitan mesti membuat siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan undang-undang yang tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang menghina asas negara ini," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata pentas seni sepatutnya menjadi medium untuk mendidik masyarakat dan mengukuhkan perpaduan, bukannya mencetuskan perpecahan.


"Pentas seni sepatutnya mendidik jiwa dan menyatukan rakyat, bukan memecahbelahkan.


"Hentikan eksploitasi nilai murni demi populariti murahan, dan kembalilah membina negara berasaskan kebenaran, adab, dan nilai moral serta keagamaan yang kukuh," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page