KEADILAN prihatin keselamatan rakyat M'sia terjejas banjir di Nepal
- Redzuan Shamsudin

- 18 hours ago
- 2 min read

KEADILAN menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada di Nepal susulan banjir lumpur yang melanda negara itu.
Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Dr Maszlee Malik, berkata perhatian khusus perlu diberikan kepada rakyat Malaysia yang mungkin terkandas, terputus hubungan dengan keluarga atau memerlukan bantuan segera.
"Ingatan dan doa kami bersama seluruh rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas, khususnya mereka yang mungkin terkandas, tidak dapat menghubungi keluarga atau memerlukan bantuan segera," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kebimbangan turut dirasai keluarga rakyat Malaysia di tanah air yang masih menunggu maklumat mengenai keselamatan serta keberadaan insan tersayang.
"Dalam situasi seperti ini, keluarga berhak mendapatkan maklumat yang tepat, terkini dan boleh dipercayai mengenai keselamatan serta keberadaan insan tersayang," katanya.
Sehubungan itu, Maszlee berkata Biro Antarabangsa KEADILAN akan segera berhubung dengan Wisma Putra dan Kedutaan Nepal di Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.
"Biro Antarabangsa KEADILAN akan segera berhubung dengan Wisma Putra dan Kedutaan Nepal di Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir, termasuk keadaan keselamatan, keberadaan mereka serta sebarang bentuk bantuan yang diperlukan," ujarnya.
Beliau berkata pihaknya turut akan berusaha menghubungi keluarga rakyat Malaysia yang terjejas bagi memahami kebimbangan mereka dan mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan.
Pada masa sama, Biro Antarabangsa KEADILAN akan menyelaras dengan Kerajaan MADANI serta pihak berkuasa berkaitan bagi menyokong usaha membantu rakyat Malaysia di Nepal, termasuk keperluan pemindahan, bantuan kecemasan dan sokongan konsular.
Maszlee turut menggesa rakyat Malaysia yang berada di Nepal dan selamat serta masih boleh berkomunikasi supaya segera menghubungi keluarga masing-masing.
Beliau menegaskan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara perlu kekal menjadi keutamaan bersama.
"Tiada keluarga Malaysia sepatutnya terpaksa menanggung ketidakpastian mengenai keselamatan insan tersayang tanpa mendapat maklumat dan bantuan yang tepat pada masanya," katanya.
Dalam pada itu, KEADILAN turut menzahirkan solidariti kepada rakyat Nepal dan komuniti yang terjejas akibat bencana berkenaan.
"Ingatan kami bersama mereka yang kehilangan insan tersayang, tempat tinggal dan sumber mata pencarian, serta anggota pasukan kecemasan dan sukarelawan yang bertugas dalam keadaan yang amat mencabar," katanya.
Maszlee berkata Biro Antarabangsa KEADILAN akan terus memantau perkembangan dan berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan.
"Kami mendoakan keselamatan seluruh rakyat Malaysia di Nepal serta rakyat Nepal dalam menghadapi saat yang sukar ini. Semoga bantuan dapat disampaikan kepada semua yang memerlukan tanpa sebarang kelewatan," katanya.




Comments