KEADILAN Maran anjur penerangan miliki Rumah Mesra Rakyat di DUN Chenor
- Suara Keadilan

- Nov 4
- 2 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Maran meneruskan komitmen mendekati rakyat dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif Kerajaan Madani bagi membantu pelbagai lapisan masyarakat di kawasan Parlimen itu.
Menerusi agensi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Negeri Pahang, satu program taklimat mengenai skim perumahan Rumah Mesra Rakyat (RMR) telah diadakan di Masjid Al-Ansar, Kampung Bukit Lada, Chenor baru-baru ini.
Menurut Pengarah Program, Halias Abdul Aziz, sesi kali ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan program penerangan pertama yang diadakan di DUN Luit sebelum ini.
"Pada sesi kali ini seramai hampir 200 orang penduduk DUN Chenor telah hadir mendengar taklimat daripada Pengurus SPNB Pahang, Azizul Hadi Saad.
"Program seumpama ini telah membuka mata rakyat di Parlimen Maran tentang peluang membina rumah di tanah sendiri atau tanah yang dibenarkan pemilik dengan harga diskaun yang sangat berpatutan dengan saiz dan model, rumah tiga bilik dan dua bilik air bersaiz 750 kaki persegi," katanya yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Maran.

Dalam pada itu, SPNB Pahang turut membuka kaunter permohonan di lokasi program bagi memberi peluang kepada penduduk untuk mendapatkan maklumat dan memohon secara langsung.
Turut hadir memeriahkan program ialah Naib Ketua Cabang KEADILAN Maran, Mohd Afandi Mat Rani, yang juga bekas CADO Daerah Maran, serta Datuk Abdul Mutalib Tasi, bekas Ketua Pegawai Operasi Perladangan FELCRA Berhad merangkap Ahli Jawatankuasa Cabang KEADILAN Maran.
Program seumpama ini mencerminkan usaha berterusan KEADILAN Cabang Maran dalam memastikan rakyat di peringkat akar umbi mendapat akses kepada peluang perumahan yang lebih baik seiring dengan matlamat Kerajaan Madani untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.









Comments