top of page

KEADILAN kekal fokus pertahan mandat PH di Negeri Sembilan - Dr Fuziah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menegaskan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan mandat Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026, meskipun berlaku perkembangan berkaitan penjajaran baharu kerjasama politik menjelang pilihanraya ini.


Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, parti itu mengambil maklum perkembangan semasa mengenai persefahaman dan kerjasama politik, namun menghormati hak setiap parti untuk menentukan pendekatan masing-masing.


"KEADILAN mengambil maklum perkembangan semasa berkaitan persefahaman dan kerjasama politik menjelang PRN Negeri Sembilan 2026.


"KEADILAN dan HARAPAN (PH) menghormati hak setiap parti untuk menentukan pendekatan dan strategi masing-masing dalam menghadapi pilihanraya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, KEADILAN tetap berpegang kepada prinsip bahawa setiap keputusan politik di peringkat negeri perlu berpaksikan kepentingan dan aspirasi rakyat Negeri Sembilan.


Katanya, PRN merupakan medan untuk parti-parti politik menawarkan kepimpinan terbaik kepada pengundi.


"PRN Negeri Sembilan merupakan pentas demokrasi untuk parti-parti menawarkan dasar, rekod perkhidmatan dan kepimpinan terbaik kepada rakyat," katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata KEADILAN akan terus menumpukan perhatian kepada isu-isu yang dekat dengan kehidupan rakyat seperti peluang ekonomi, kos sara hidup, pembangunan seimbang serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.


Beliau turut menegaskan bahawa PH tidak akan mengorbankan kepercayaan rakyat semata-mata untuk mencapai kemenangan politik.


"Berteraskan prinsip ‘bulat air kerana pembuluh, bulat kata kerana muafakat’, HARAPAN tetap bertegas bahawa menggadaikan kepercayaan demi kemenangan bukan dalam kamus strategi politik kami," katanya.


Menurut Fuziah, kebajikan rakyat akan terus menjadi asas kepada setiap keputusan politik yang dibuat oleh parti.


"Agenda pembangunan negara serta kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan berkesan ialah paksi serta tunjang utama mendasari setiap langkah politik kami," katanya.


Mengulas perkembangan strategi politik semasa melibatkan beberapa parti, beliau menyifatkan perbezaan pendekatan dalam PRN sebagai sesuatu yang lumrah.


"Perbezaan strategi politik dalam pilihan raya negeri merupakan perkara biasa di dalam seni kepada segala kemungkinan,” katanya.


Justeru, beliau menyeru seluruh jentera KEADILAN dan PH agar terus berdisiplin serta bekerja bersungguh-sungguh bagi memperoleh keyakinan rakyat dan memastikan PH menang serta mendapat majoriti kerusi secukupnya dalam membentuk kerajaan.


"Seluruh jentera KEADILAN dan HARAPAN diseru supaya kekal fokus, berdisiplin dan bekerja dengan penuh iltizam untuk meraih keyakinan rakyat serta mempertahankan mandat HARAPAN di Negeri Sembilan," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page