Calon DUN Lambir, Zulhaidah Suboh berjanji akan menyelesaikan masalah peniaga kecil di kawasan berkenaan yang dilihat kurang mendapat pembelaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Katanya, dalam lawatan beliau menyantuni para peniaga serta pengunjung di Tamu Simpang Bekenu, DUN Lambir, mendapati beberapa kelemahan tidak diambil berat oleh PBT.
"Kerajaan Negeri Sarawak melalui Majlis Daerah Subis (MDS) dilihat tidak mengambil perhatian terhadap kebajikan para peniaga di sini.
"Peniaga yang ditolak permohon lesen dibenarkan berniaga tetapi dikenakan bayaran sewa tapak RM5 sehari manakala peniaga yang mempunyai lesen pula dikenakan sewa tapak RM 18 sehari.
"Tiada bekalan perkhidmatan elektrik dan air disediakan bagi kedua-dua kategori tapak ini malahan tiada perkhidmatan keselamatan disediakan menyebabkan barang niaga yang disimpan kerap berlaku kecurian dan tiada sebarang tindakan dari pihak berkenaan setelah aduan dibuat.
"Peniaga sedia ada juga sepatutnya dipermudahkan urusan supaya permohonan lesen mereka diluluskan. Sepatutnya para peniaga diberikan hak dan kemudahan yang sama rata dan adil," katanya.
Menurut Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Sarawak itu, para peniaga perlu diberi lebih keselesaan dan keselamatan berniaga, lebih lebih lagi ketika ekonomi pengguna pada waktu pasca pandemik Covid 19 yang merudum, menyebabkan peniaga menikmati keuntungan yang amat kecil.
Katanya, hasil tinjauan mendapati jualan di pasar tersebut tidak serancak dahulu dan perlu dilakukan penambahbaikkan keadaan di sana.
Justeru, Zulhaidah menyeru agar pengundi DUN Lambir membuat perubahan dalam Pilihan Raya Negeri kali ini.
"Saya menyeru kepada seluruh rakyat negeri Sarawak umumnya dan DUN Lambir khususnya agar membuat pilihan yang tepat iaitu dengan tidak memilih Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada hari mengundi yang dijadualkan pada 18 Disember ini.
"Mereka jelas tidak memikirkan kebajikan rakyat negeri ini," katanya lagi.
Zulhaidah juga merupakan Exco Wanita KEADILAN Pusat dan Ketua Wanita KEADILAN Cabang Sibuti. Pada PRN kali ini nama beliau di petak nombor 1 kertas undi.
Comments